Johor catat pelaburan diluluskan bernilai RM63.9 bilion

Johor Bahru: Johor mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM63.9 bilion, bagi tempoh Januari hingga September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Lee Ting Han berkata, pelaburan yang dicatatkan Johor itu hampir 33 peratus daripada angka pelaburan nasional yang direkodkan iaitu RM193.7 bilion.

“Menurut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) pada 14 Disember lalu, Johor mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM 63.9 bilion bagi tempoh Januari hingga September lalu.

“Sektor perkhidmatan tetap mendominasi pelaburan di Johor dengan merekodkan pencapaian RM55.06 bilion, diikuti sektor perkilangan sebanyak RM8.84 bilion.

“Ia adalah peningkatan hampir 91 peratus berbanding tempoh masa yang sama pada 2021, iaitu sebanyak RM 4.64 bilion dan sektor utama pula sebanyak RM25 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jumlah projek yang diluluskan oleh Mida adalah sebanyak 340 projek manakala jumlah peluang pekerjaan yang dijangka dapat diwujudkan melalui pelaburan itu sebanyak 11,968.

Pada 2 September lalu, Johor dilaporkan mencatatkan pelaburan paling tinggi dalam negara bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini iaitu sebanyak RM60.9 bilion, sekali gus menjadi pelaburan yang tertinggi pernah dicatatkan oleh negeri ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, pelaburan itu adalah peningkatan sebanyak 822 peratus daripada RM6.6 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam pada itu, Lee berkata, statistik itu menunjukkan Johor terus menjadi destinasi pelaburan utama dalam negara, bersandarkan ekosistem pelaburan dan perindustrian yang memenuhi kriteria pelabur asing dan domestik.

Katanya, ini termasuk penyediaan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, kestabilan politik di Johor, utiliti dan tanah yang mencukupi serta infrastruktur seperti pelabuhan dan kemudahan asas yang baik.

“Dalam hal ini, Johor menyaksikan pelaburan, antara lain, daripada Insulet Corporation dari Amerika Syarikat/Singapura yang membangunkan kilang pengeluaran peranti perubatan, Sistem Pengurusan Insulin Omnipod.

“GDS Holdings Ltd, Bridge Data Centres dari China serta YTL Power International Bhd Malaysia pula membangunkan pusat data tersendiri secara berskala besar, manakala Wiwynn Corporation dari Taipei pula menubuhkan fasiliti pembuatan papan litar bercetak,” katanya.

Lee berkata, dengan bertapaknya pelaburan berkenaan, Johor dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor digital, peranti perubatan, pembuatan termaju serta industri sokongan berkaitan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker