Peragut ditahan sehari selepas video tular

Johor Bahru: Seorang peragut ditahan polis semalam, sehari selepas video dia melakukan jenayah itu ke atas seorang wanita di Lorong Songkit 3, Taman Sentosa di sini tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah dekat kawasan Taman Molek di sini, kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan ragut serta barang-barang disyaki hasil ragut.



“Kita merampas empat telefon bimbit, beg silang, resit, topi keledar berwarna hitam, baju jaket lengan panjang warna kuning, seluar panjang dan pendek, selipar serta sebuah motosikal Honda Dash 125 berwarna jingga,” katanya.

Raub berkata, hasil semakan, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dalam kes samun dan pecah rumah selain dua rekod jenayah samun yang disenarai hitam atau orang dikehendaki.

Katanya, susulan tangkapan yang dibuat ke atas suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan tiga kes ragut yang berlaku di sekitar kawasan Johor Bahru.

Terdahulu, video berdurasi 30 saat tular di media sosial memaparkan dua wanita sedang berjalan di sebuah lorong sambil mengangkat barang sebelum didatangi sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki yang dengan pantasnya lalu di sebelah seorang daripada wanita itu dan meragut beg tangan sebelum beredar.



Mangsa dan seorang lagi wanita dilihat cuba mengejar motosikal berkenaan.

Raub berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa kejadian yang berusia 47 tahun itu pada jam 12.33 tengah hari kelmarin.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada jam 9.10 pagi itu kelmari ketika mangsa berjalan dengan seorang lagi wanita di lokasi kejadian sebelum didatangi suspek.

“Seorang lelaki memakai jaket berwarna kuning dan menaiki motosikal berwarna jingga, datang ke arah mangsa dan terus meragut beg tangan mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.



Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button