Kok Rui menang dua trofi Anugerah Golden Horse

KUALA LUMPUR: Karya menyentuh hati mengetengahkan hubungan kanak-kanak pelarian Pakistan dengan pemandu teksi dalam filem The Sunny Side Of The Street melakar sejarah buat pengarah Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong, Lau Kok Rui.

Mengikut laporan portal Taiwan News, naskhah sentuhan Kok Rui itu berjaya mengungguli dua trofi, Pengarah Baharu Terbaik dan Lakon Layar Asal Terbaik pada malam kemuncak, Anugerah Golden Horse Ke-59 di Taiwan, baru-baru ini.

Kok Rui ketika berkongsi kemenangannya berkata, skrip filem itu ditulis berdasarkan pengalaman sebenar yang pernah dilaluinya sebagai imigran.



“Sebagai imigran dari Malaysia dan kini berpangkalan di Hong Kong, filem ini memaparkan pengalaman peribadi dan terjemahan hubungan saya dan bapa menerusi watak utama.

“Setiap pendatang asing pasti mempunyai masalah dan alasan tersendiri kenapa mereka sanggup berhijrah.

“Golongan imigran ini mempunyai kehidupan sangat rumit. Tekanan hadir dari setiap segi apabila sentiasa berasakan masa depan tidak selamat,” kata Kok Rui.

Bercerita lanjut mengenai kehidupannya, Kok Rui berkata, usianya masih terlalu muda ketika berhijrah ke Hong Kong.



“Saya terputus hubungan dengan bapa dan disebabkan itu, saya perlu berdikari untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Filem The Sunny Side Of The Street mengangkat kisah kanak-kanak yang dahagakan perhatian seorang bapa dan pergelutan yang berlaku dalam hidup hanya kerana ingin dirinya disayangi.

“Dua karakter utama dalam filem ini iaitu kanak-kanak dan pemandu teksi jelas menggambarkan kehidupan silam saya.



“Saya dapat melihat filem ini sebagai satu perbualan antara saya dan bapa,” luah pengarah berusia 32 tahun ini.

Kok Rui yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati, Mavis, awal bulan ini mengakui terkejut dengan kemenangan yang diraih menerusi filem itu.

“Saya tak menjangka membawa pulang dua trofi malam ini kerana persaingan cukup sengit.

“Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mentor saya. Tanpa mereka, pasti filem ini tidak mampu untuk disiapkan,” katanya yang memulakan kerjaya seni sebagai pengarah dokumentari.



Filem terbitan Petra Films dengan kos pembikinan sebanyak RM4.7 juta ini turut memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik lakonan mantap aktor veteran Hong Kong, Anthony Wong yang membawakan watak pemandu teksi.

Pada acara anugerah berprestij itu, filem The Sunny Side Of The Street turut menerima pencalonan bagi kategori Naratif Cereka Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Bintang Harapan Terbaik.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button