Boling kumpul 200 ahli Wanita UMNO Bangi

 

(Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah) diapit Nur Zainatul Atiqa Abdullah (kanan) dan Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain pada Pertandingan Boling Komuniti Keluarga Malaysia Parlimen Bangi di Ampang Superbowl, Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini)

Oleh Rohana Man



BANGI – Seramai 200 orang terlibat menjayakan Pertandingan Boling Komuniti Keluarga Malaysia, Parlimen Bangi yang diadakan di Ampang Superbowl, Bangi Gateway,Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Melalui hantaran di laman Facebook Wanita UMNO Bahagian Bangi, sebanyak 30 pasukan yang diwakili Ketua-ketua Wanita Cawangan dan ahli Wanita masing-masing menyertai pertandingan boling itu.

Menariknya, pertandingan boling tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Noraini melalui hantaran di laman Facebooknya berkata, penyertaan 30 pasukan dalam pertandingan itu amat memberangsangkan.



Menurutnya, lebih mengujakan apabila kira-kira 200 orang turut hadir memeriahkan pertandingan yang diadakan itu.

“Pagi tadi, saya berkesempatan untuk bersama-sama dengan Wanita UMNO Bahagian Bangi untuk merasmikan Pertandingan Boling Komuniti Keluarga Malaysia Parlimen Bangi.

“Penyertaan yang amat memberangsangkan. 30 pasukan dan lebih 200 orang turut hadir untuk memeriahkan program ini.

“Masing-masing begitu teruja dapat berkumpul ramai-ramai macam ini,” katanya.



Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Bangi, Nur Zainatul Atiqa Abdullah; Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain; Ketua Penerangan Wanita UMNO Selangor, Suhaila M. Zin dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bangi, Norhafizah Othman.

“Terima kasih kepada mereka yang hadir dan sentiasa menyokong program-program anjuran Wanita,” tambahnya.

Sementara itu, Nur Zainatul berkata, kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan pertandingan tersebut amat mengagumkan.

Menurutnya, persiapan awal telah dilakukan bagi memastikan pertandingan tersebut berjalan lancar.



“Aturcara yang disusun berjalan lancar termasuk penyampaian hadiah kepada juara, naib juara, tempat ketiga, saguhati tempat keempat dan kelima.

“Selain itu, hadiah turut diberikan kepada pemenang individu jatuhan pin tertinggi, kumpulan berpakaian kreatif dan individu jatuhan pin terendah,” katanya sambil memaklumkan acara cabutan bertuah memeriahkan lagi suasana pertandingan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button