Malaysia catat pelaburan diluluskan cecah RM193.7 bilion

Kuala Lumpur: Malaysia mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM193.7 bilion dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama yang melibatkan 2,786 projek bagi tempoh Januari hingga September 2022.

Dalam kenyataan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata jumlah tersebut bakal menjana sebanyak 98,414 peluang pekerjaan baharu di negara ini.

Menurutnya, angka pelaburan diluluskan itu merupakan peningkatan sebanyak 2.5 peratus berbanding RM188.9 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan kejayaan menarik hampir RM194 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menjadi bukti kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di Asia.



“Rantaian bekalan mantap, struktur kos yang kompetitif, proses operasi perniagaan yang dipermudahkan, inovasi dan keupayaan teknologi canggih serta bakat tempatan terlatih menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

“Melangkah ke hadapan, MITI dan agensi-agensinya akan memastikan agar peluang pelaburan baharu dapat membina kapasiti serta modal insan bersesuaian dalam industri sasaran bagi membina ekonomi negara secara mampan,” katanya.

Dalam pada itu, MIDA menjelaskan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 67.5 peratus atau RM130.7 bilion (US$28.1 bilion) manakala pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 32.5 peratus atau RM63 bilion (USD13.6 bilion).

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding FDI diluluskan bagi tempoh sama pada 2021.



“Daripada jumlah pelaburan diluluskan itu, China mendominasi pelaburan asing sebanyak RM49.2 bilion dan seterusnya Amerika Syarikat (RM16.9 bilion), Belanda (RM16.5 bilion), Jerman (RM9.2 bilion) dan Singapura (RM8.7 bilion),” katanya.

Lima negeri dengan pelaburan diluluskan yang signifikan termasuk Johor (RM63.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM26.1 bilion), Selangor (RM25.7 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion) dan Kedah (RM12.1 bilion).

Bagi tempoh itu juga, kata MIDA, sektor perkhidmatan berperanan penting dalam memacu pemulihan ekonomi negara dengan merangkumi 58.5 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM113.3 bilion yang melangkaui jangkaan bagi Jan-Sept 2022 iaitu melonjak 60.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.

Ini diikuti sektor perkilangan berjumlah RM64.9 bilion atau 33.5 peratus dengan sektor utama RM15.5 bilion atau lapan peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata Malaysia mempunyai reputasi baik di persada antarabangsa dan diyakini oleh pelabur.

“Negara ini mempunyai asas kukuh dalam membuka peluang pelaburan dan perniagaan untuk mereka. Menerusi iklim pelaburan menarik, Malaysia bersedia menjadi hab ekonomi besar yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelabur.

“Malaysia menawarkan pelbagai ciri-ciri kompetitif untuk syarikat-syarikat tampil maju di pasaran antarabangsa melalui kedudukannya yang strategik di Selat Melaka, ekosistem industri yang komprehensif dengan kekayaan sumber asli serta populasi muda, berbakat dan berdaya saing,” katanya.

Arham turut berkongsi usaha kerajaan yang giat melaksanakan langkah agresif untuk menarik lebih banyak projek berkualiti dan berimpak tinggi serta berintensifkan modal dalam sektor perkilangan serta perkhidmatan yang dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Kerajaan akan terus memberi tumpuan dalam ekonomi digital, tenaga dan aktiviti perkilangan bernilai tinggi seperti teknologi pengangkutan termasuk kenderaan elektrik dan ekosistemnya yang bakal menyumbang kepada potensi ekonomi yang ketara dan pembangunan jangka panjang yang mampan,” kata beliau.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker