Polis buru suspek kes samun, bunuh wanita

Tawau: Polis giat memburu suspek kes samun sehingga menyebabkan kematian seorang wanita di Kampung Titingan, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek dipercayai melarikan diri selepas menyamun dan mengelar leher mangsa menggunakan objek tajam dalam kejadian 7.30 malam itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga warga asing berumur awal 30-an bersama anak perempuannya berumur setahun dikatakan dalam perjalanan pulang selepas mengambil sayur di rumah kakaknya, yang terletak tidak jauh dari rumah mereka, di situ.

“Ketika melalui lorong gelap berhampiran sebuah bangunan terbengkalai, mangsa dipercayai diserang sebelum disamun oleh suspek dan mangsa bertindak melawan untuk mempertahankan diri.



“Bagaimanapun, mangsa ditemukan meninggal dunia di tempat kejadian berdasarkan kesan kecederaan (kelar) pada bahagian leher, selain barang kemas dipakai mangsa turut didapati hilang,” katanya kepada media di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 24 saat memaparkan seorang kanak-kanak menangis di sisi mayat ibunya yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan dipercayai dibunuh.

Satu lagi rakaman berdurasi 40 saat turut memaparkan seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa memeluk jasad wanita berkenaan sebelum cuba ditenteramkan oleh orang awam yang berada di lokasi terbabit.



Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker