Ronaldo berlatih di Real Madrid?

Madrid: Cristiano Ronaldo menjalani latihan di Valdebebas, Real Madrid untuk hari kedua berturut-turut ketika penyerang berusia 37 tahun itu berusaha mengekalkan kecergasan dalam misi mencari kelab baharu.

Bintang Portugal itu menjalani latihan sendirian di pusat itu menurut laporan Relevo, susulan penyingkiran negaranya di Piala Dunia.

Ronaldo menjadi pemain bebas sejak menamatkan kontrak secara persetujuan bersama dengan Manchester United selepas pendedahan sensasi dalam temubual bersama Piers Morgan.

Dilaporkan pemain berusia 37 tahun itu meminta kebenaran Presiden Real Madrid, Florentino Perez untuk menjalani latihan di Valdebebas bagi tempoh beberapa hari susulan kekalahan negaranya kepada Maghribi pada suku akhir Piala Dunia di Qatar.



Perez memberi lampu hijau kepada Ronaldo untuk menggunakan kemudahan mereka, dengan laporan menyatakan beliau turut memberitahu bintang Portugal itu : “Sudah tentu, ini adalah rumah kamu.”

Dan pada Khamis, penyerang itu meluangkan masa pada hari kedua di bekas kelabnya ketika laporan turut menyatakan dia mungkin kembali semula menjalani di kelab berkenaan.

Ronaldo meninggalkan legasi sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik ketika bersama kelab di Santiago Bernabeu selama sembilan tahun selepas berpindah ke Sepanyol dengan mencipta rekod dunia £80 juta (RM352 juta) dari Man United.

Dia memenangi kejuaraan La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara di Real, sementara empat daripada lima anugerah Ballon d’Or diterimanya ketika beraksi di kelab itu.



Ia mungkin sesuatu yang emosi buat Ronaldo untuk kembali ke padang latihan kelab berkenaan selepas tempoh sukar diharungi penyerang Portugal itu sejak dia berpindah dari Real ke Juventus pada 2018.

Begitupun, dia terpaksa berlatih jauh daripada kumpulan pemain semasa kelab gergasi Sepanyol itu, yang kini diketuai oleh bekas jurulatihnya, Carlo Ancelotti.

Ronaldo mempunyai hubungan baik dengan Presiden Madrid, Perez, yang mengumumkan sekitar 2019 di Onda Cero: “Cristiano Ronaldo tidak pernah mendatangkan masalah di Madrid. Dia menjadi contoh dan saya akan mengingatinya sebagai pemain terbaik yang pernah ditandatangani.

“Dia sentiasa menjadi contoh baik, seorang yang profesional. Saya sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengannya dan saya tidak pernah berdepan sebarang masalah peribadi atau kewangan,” kata Perez.

Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker