Tanah runtuh berlaku pada cerun buatan – Ibrahim Komoo

PUTRAJAYA: Kejadian tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali, pagi tadi berlaku pada cerun buatan atau cerun tambakan jalan di kawasan bukit batuan granit.

Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata ketika musim hujan, air permukaan yang banyak meresap ke dalam cerun sering menyebabkan kegagalan cerun.

“Berdasarkan maklumat sedia ada, banyak kejadian tanah runtuh berlaku di cerun tambakan sepanjang jalan raya di kawasan bukit atau pergunungan di Malaysia.

“Kebanyakan kejadian menyebabkan kerosakan jalan, ada yang terputus atau separuh runtuh. Lazimnya, tidak menyebabkan kematian kerana tiada penghuni di kaki tanah runtuh.



“Bencana kali ini amat malang kerana ‘kebetulan’ terdapat kawasan perkhemahan sekitar 100 meter di bawah tanah runtuh (30 meter di bawah paras jalan),” katanya

dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian juga, difahamkan terdapat 94 orang yang sedang tidur di dalam khemah di kawasan itu.

Ibrahim berkata, tanah runtuh diikuti dengan aliran tanah menyebabkan kawasan perkhemahan itu tertimbus dengan runtuhan tanah.



“Bencana ini berlaku pada cerun buatan (cerun tambakan, dan pembersihan ladang),” katanya.

Beliau turut menggesa supaya pihak berkuasa menyediakan garis panduan berkaitan pembangunan di kawasan rekreasi atau perkhemahan terutamanya di lereng bukit.

“Perlu ada garis panduan yang jelas disediakan untuk pembangunan bagi tapak perkhemahan ini atau pun tempat rekreasi lain yang boleh mengundang risiko sama,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.24 pagi.

Beliau berkata, ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar).

Setakat jam 1 tengah hari tadi, seramai 16 mangsa disahkan maut dan operasi mencari mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker