Penyokong Argentina kecewa jualan tiket final

LUSAIL CITY, QATAR – DECEMBER 13: Julian Alvarez celebrates with Lionel Messi of Argentina after scoring the team’s second goal during the FIFA World Cup Qatar 2022 semi final match between Argentina and Croatia at Lusail Stadium on December 13, 2022 in Lusail City, Qatar. (Photo by Richard Heathcote/Getty Images)

DOHA: Beratus-ratus peminat bola sepak Argentina berkumpul di luar pejabat tiket FIFA dengan harapan untuk mendapatkan tiket bagi perlawanan akhir Piala Dunia 2022 malam esok di Stadium Lusail yang berkapasiti 88,000 penonton.

Peminat juara dunia dua kali itu juga berkata, mereka kecewa dengan kekurangan tiket di platform jualan dan jualan semula rasmi FIFA, sambil menambah mereka tidak akan pergi sehingga mereka dapat membeli tiket.

“Kami tahu banyak tiket sudah dilepaskan oleh peminat Brazil, Portugal dan Maghribi selepas pasukan mereka gagal ke final, tetapi kami tidak tahu ke mana tiket itu pergi,” kata penyokong Argentina, Mattias di luar pejabat tiket utama di Doha semalam.

Pintu masuk ke pejabat utama dihadang dan dikawal oleh pegawai keselamatan dan sukarelawan, dan hanya peminat yang ingin mencetak tiket elektronik dibenarkan masuk ke dalam bangunan. Keadaan sama dilihat di luar hotel Doha kelmarin, tempat pegawai persekutuan bola sepak Argentina menginap.



“Kami memaklumkan kepada mereka kami tidak mempunyai sebarang tiket untuk ditawarkan tetapi mereka masih berkeras untuk kekal di sini,” kata seorang kakitangan pejabat tiket yang enggan dikenali.

Mattias, yang berada di luar pejabat tiket selama lebih empat jam, berkata kekal di situ satu-satunya cara untuk mendapat perhatian FIFA dan penganjur negara tuan rumah.

“Jika kami tinggal di sini dan membantah secara aman, kami mungkin mendapat sesuatu tetapi jika kami pergi, tiada siapa yang akan mendengar keluhan kami,” katanya.

Argentina, yang layak ke final selepas menewaskan Croatia Rabu lalu, akan menentang penyandang juara Perancis malam esok.



Peminat La Albiceleste memberikan sokongan padu terhadap pasukan mereka sepanjang kempen mereka setakat ini. Beribu-ribu peminat memukul gendang dan dram, menyanyi serta menari di dalam stadium ketika perlawanan membabitkan Argentina, selain meneruskan perayaan mereka di luar stadium selepas setiap kemenangan itu.

Maria Parreira, yang menghadiri setiap perlawanan Argentina setakat ini, berkata dia kecewa melihat badan induk bola sepak dunia FIFA tidak berbuat sesuatu bagi membantu 30,000 atau lebih warga Argentina yang berkunjung ke Qatar bagi menyaksikan kejohanan itu.

Parreira berkata kebanyakan peminat yang datang sejauh 13,000km dari Argentina “membelanjakan semua wang simpanan mereka” dan akan pulang ke rumah dengan poket kosong kerana itulah makna bola sepak bagi mereka.

Sekiranya pasukan mereka mengatasi Perancis malam esok dan merangkul gelaran ketiga, ia bagaimanapun pasti berbaloi dengan setiap sen yang dibelanjakan oleh penyokong.



AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button