Restoran diarah tutup, tukang masak biar budak kencing didapur

Kota Tinggi : Sebuah restoran di sebuah kompleks beli belah di sini, yang tular selepas tukang masaknya tidak mengamalkan kebersihan diarahkan tutup serta merta, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, sepasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi dihantar untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan di lapangan pada jam 11.45 pagi setelah mendapat maklumat pada Jam 11.30 pagi.

Katanya, hasil siasatan mendapati premis disewakan kepada warga asing.



“Kesemua empat pengendali makanan tidak mempunyai Sijil Latihan Pengendali serta seorang didapati tidak mempunyai suntikan tifoid.

“Markah Pemeriksaan Premis adalah 47.12 peratus. Arahan Penutupan diberikan di bawah Seksyen 12 Akta Makanan 1983 serta Arahan Pembersihan di bawah Seksyen 10(1) Akta Makanan 1983.

“Kompaun juga turut dikeluarkan ke atas Pemilik Premis kerana gagal memastikan premis di dalam keadaan baik dan bersih di bawah Peraturan 11(1), dibaca bersama Peraturan 15(1) kerana tidak mendaftarkan Premis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ling berkata, restoran terbabit juga mempunyai kesalahan lain, antaranya pencemaran silang di tempat penyimpanan makanan dan tidak menjaga titik kawalan kritikal ke atas makanan yang sudah dimasak.



Katanya, lantai premis juga kotor dan tidak dibersihkan, selain dinding yang berhabuk dan bersawang.

“Penyimpanan makanan yang tidak bersih juga dikesan di premis ini. Terdapat talang telur yang berada di tempat penyediaan makanan dan telur yang tidak dicuci sebelum digunakan.

“Tempat mencuci tangan juga tidak dilengkapi dengan sabun cecair dan pengering tangan atau tuala pakai buang, serta menggunakan tong sampah tidak dibersihkan, kotor dan tidak bertutup.

“Malah sistem saliran yang tidak efektif dan menyebabkan air limpah mengalir ke atas permukaan jalan,” katanya.



Ling turut mengucapkan terima kasih di atas hantaran Facebook itu dan mengingatkan pengguna supaya memilih

premis yang mengamalkan pengendalian makanan bersih.

Terdahulu, satu video tular berdurasi 1.24 minit di Facebook yang memaparkan rakaman di dapur sebuah restoran di pusat beli bela di sini.

Dalam rakaman itu, turut kelihatan anak kecil dipercayai anak kepada tukang masak di restoran itu membuang air kecil berhampiran sinki dapur yang mana terdapat makanan sedang disediakan.



Tindakan wanita itu yang hanya ‘membasuh’ kencing kanak-kanak itu selepas membuang hajat di dapur berkenaan dengan sekadar menggunakan tangan yang basah selepas dicelup dari bekas air sebelum menyambung memasak ternyata menjijikkan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button