Tiada simpati buat Messi – Dembele

DOHA: Bintang Perancis, Ousmane Dembele mengakui dia tidak akan bersimpati terhadap Lionel Messi pada perlawanan akhir Piala Dunia malam esok ketika juara bertahan mahu mempertahankan trofi apabila berdepan Argentina.

Final esok adalah peluang terakhir buat Messi, yang kini berusia 35 tahun, untuk menjulang hadiah terhebat dalam dunia bola sepak dan dia sudah membayangkan tidak akan beraksi lagi pada Piala Dunia.

“Dengan karier hebat diharunginya bagus jika dia menang Piala Dunia, tetapi kami juga mahu menjuarainya.

“Kami adalah Perancis, kami berjuang untuk negara kami, pasukan kami, untuk melengkapkan tugas selepas apa yang kami lakukan untuk layak ke sini.

“Benar ini trofi yang tidak pernah dimilikinya, tetapi kami juga di sini untuk membanggakan negara kami. Saya harap Perancis berjaya memenanginya,” kata Dembele, yang beraksi di samping Messi selama empat tahun di Barcelona, memberitahu wartawan semalam.

Dembele, 25, tonggak utama Perancis di Qatar, bermula dalam setiap perlawanan dalam laluan ke final kecuali kekalahan di tangan Tunisia pada perlawanan terakhir kumpulan, apabila mereka sudah memastikan tempat ke peringkat kalah mati.

Ia berbeza berbanding edisi 2018, apabila dia melakukan empat penampilan ketika kempen kejuaraan Perancis di Russia tetapi tampil hanya dua minit pada pusingan kalah mati dan tidak beraksi langsung ketika Les Bleus menewaskan Belgium pada separuh akhir dan kemudian Croatia pada final.

Pasukan Perancis berubah wajah sejak itu, terutama kerana pemain utama seperti N’Golo Kante, Paul Pogba dan Lucas Hernandez terpaksa digugurkan kerana kecederaan.

Namun Dembele turut berkata, pengalaman memenangi trofi itu sebelum ini bermakna suasana dalam kem Perancis amat berbeza kali ini.

“Ada beberapa persamaan, tetapi 2018 sesuatu yang berbeza. Lebih ramai pemain gila dalam pasukan.

“Kami mengharungi suasana hebat kali ini, tetapi 2018 final pertama kami dalam tempoh 20 tahun, ia tidak sama.

“Mungkin lebih banyak ketenangan, lebih pengalaman selepas 2018. Kami gembira agak keterlaluan sedikit ketika itu selepas kami mengalahkan Belgium pada separuh akhir.

“Kali ini kami hanya memikirkan mengenai aksi Ahad ini,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker