Ada 200 penjawat lantikan politik

KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendakwa terdapat lebih 200 lantikan politik dalam 72 badan berkanun Persekutuan sepanjang empat pentadbiran kerajaan terdahulu.

Ini berdasarkan data pantau kuasa IDEAS yang dipapar laman web www.pantaukuasa.com yang berfungsi untuk menjejaki lantikan politik sepanjang tempoh pentadbiran berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh, berkata pelantikan politik itu dilakukan pentadbiran terdahulu sama ada oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.



Beliau berkata, kerajaan sekarang wajar membuat pelantikan baharu membabitkan jawatan pengerusi dan pengarah entiti berkenaan, bersandarkan kepakaran dan pengalaman mereka.

“Kami berharap pelantikan baharu yang dibuat oleh kerajaan semasa berdasarkan kepakaran, kemahiran dan pengalaman serta bukannya gabungan politik semata-mata.

“Memasukkan gabungan politik ke dalam kriteria pelantikan menjejaskan integriti. Lebih-lebih lagi, terdapat risiko wujudnya konflik kepentingan apabila tokoh yang dilantik secara politik mengutamakan program yang mempunyai kepentingan.

“Memandangkan sesetengah perundangan badan berkanun sudah mengenal pasti entiti dan orang yang sepatutnya melantik pengerusi dan ahli lembaga pengarah, peruntukan ini harus dihormati dan dipatuhi,” katanya hari ini.



Menyentuh lantikan membabitkan jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Tricia berkata, kuasa pelantikan harus diberikan kepada entiti kerajaan yang memiliki GLC itu atau jawatankuasa pencalonan lembaga pengarah.

Melangkah ke depan, Tricia berkata, pihaknya menyarankan kerajaan mengeluarkan garis panduan dalam menetapkan kriteria pengerusi dan lembaga pengarah, demi melengkapkan ketiadaan kriteria pelantikan di badan berkanun.

“Bagi GLC, buku hijau meningkatkan keberkesanan lembaga pengarah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Putrajaya pada 2006 boleh menjadi rujukan mengenai pelantikan lembaga pengarah GLC.

“Sebagai contoh, beberapa kriteria yang lebih ketat ini harus digunakan iaitu ahli lembaga mesti memiliki pengetahuan, kemahiran dan pemikiran yang betul.



“Kriteria penilaian pengarah individu dan lembaga pengarah secara kolektif hendaklah telus, disesuaikan dengan keperluan tertentu syarikat dan secara jelas dikaitkan dengan akibat yang jelas untuk prestasi yang teruk,” katanya.

Atas faktor itu, Tricia menyarankan agar usaha itu perlu disertakan dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang boleh meneliti dan memantau laporan tahunan badan berkanun dengan lebih kerap.

Dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan tadbir urus yang baik dalam lembaga pengarah GLC, beliau berkata, penting bagi kerajaan untuk mempertimbang tanggungjawab lembaga pengarah secara lebih meluas.

“Garis panduan OECD mengenai perusahaan milik negara menyatakan beberapa prinsip termasuk lembaga pengarah perusahaan milik negara harus mempunyai kuasa, kecekapan dan objektiviti yang diperlukan untuk menjalankan fungsi bimbingan strategik dan pemantauan pengurusan mereka.



“Mereka harus bertindak dengan penuh integriti dan bertanggungjawab atas tindakan mereka. Akhirnya, semua ahli lembaga pengarah hendaklah bebas daripada sebarang kepentingan material dan hubungan yang boleh menjejaskan pelaksanaan pertimbangan objektif mereka.

“Ia termasuk mengelak konflik kepentingan yang harus dicegah untuk mengehadkan campur tangan politik dalam proses pelantikan lembaga pengarah,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button