Capaian komunikasi di lokasi tanah runtuh dipertingkat – MCMC

KUALA LUMPUR : Kesukaran dihadapi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi tanah runtuh di Jalan Batang Kali – Gohtong, yang berdepan masalah ketiadaan liputan talian bimbit hingga menyukarkan komunikasi, berjaya diatasi sebaiknya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, Emergency Disaster and Response Team (EDRT) digerakkan pada Jumaat lalu, dengan penyedia perkhidmatan utama Telekom Malaysia (TM), Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile diarahkan segera menganalisa dan menggerakkan aset komunikasi ke tempat kejadian.

“Selain itu, MCMC meminta bantuan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Amateur Radio Emergency Service (MARES) bagi menyediakan komunikasi alternatif dengan menggunakan teknologi radio amatur bagi kegunaan penyelamat berhubung secara pantas.

“Mereka tiba lebih awal pada hari terbabit di tempat kejadian bencana bagi membantu agensi lain menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MCMC berkata, komunikasi adalah keperluan terpenting kepada pasukan SAR bagi memastikan koordinasi antara pasukan dan agensi yang terbabit di lokasi bencana dilaksanakan secara efektif.

“Selain keutamaan kepada SAR, pengamal media yang bertungkus-lumus di lapangan juga memerlukan komunikasi yang terbaik bagi melaporkan situasi dan perkembangan terkini melalui platform berita serta media masing-masing.

“Kita juga cakna saranan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkaitan prosedur operasi standard (SOP) akses telekomunikasi di kawasan bencana.

“Justeru, MCMC akan meneliti bersama pemegang taruh untuk memperkemaskan lagi SOP sedia ada,” katanya.

Sementara itu, katanya, pelbagai cabaran dihadapi dalam memberikan perkhidmatan di lokasi tapak bencana, antaranya ketiadaan bekalan elektrik, bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan jarak pemancar penyedia perkhidmatan masing-masing.

Katanya, ini secara tidak langsung menyebabkan teknologi seperti gelombang mikro tidak dapat digunakan kerana ketiadaan Line Of Sight (LOS).

“Pihak TM dengan segera menyediakan tindakan alternatif dengan menarik dan menyediakan kabel gentian optik sejauh dua kilometer dari Nod Awana Genting dan penyediaan MoVIC (sel IP boleh alih) TM di tapak bencana.

“Ini seterusnya membolehkan teknologi Multi Operator Core Network (MOCN) digunakan penyedia perkhidmatan dan memberikan liputan bagi rangkaian masing-masing.

“Pada jam 3 pagi Sabtu lalu, kemudahan komunikasi disediakan di tapak bencana, semua penyedia perkhidmatan berjaya memberikan perkhidmatan melalui Coverage on Wheels (COW),” katanya.

MCMC berkata, pemantauan MCMC pihaknya mendapati semua penyedia perkhidmatan berjaya mencapai kualiti liputan selular yang amat baik melebihi 50Mbps.

Selain itu, pihak TM juga menyediakan perkhidmatan Unifi wifi percuma berkelajuan 800Mbps di khemah pasukan SAR dan kenderaan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selaku penyelaras kepada pengamal media.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker