Bahasa Melayu catat sejarah dimartabat di Perhimpunan Agung PBB

NEW YORK: Selepas 65 tahun Persekutuan Tanah Melayu diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 September 1957, hari ini bahasa Melayu dimartabatkan di ibu pejabat badan tertinggi dunia itu di Amerika Syarikat.

Sejarah tercatat pada jam 5 petang waktu tempatan apabila buat julung kali ucapan Perdana Menteri Malaysia disampaikan dalam bahasa Melayu oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari keempat Perhimpunan Agung PBB UNGA ke-77, di New York.

Lebih menarik ketika giliran beliau berucap sesi itu dipengerusikan oleh Wakil Tetap Malaysia di PBB, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, juga memakai pakai baju Melayu.

Mengenakan busana baju Melayu berwarna hitam lengkap bersongkok, Ismail Sabri berucap selama kira-kira 22 minit.



Tema sesi UNGA kali ini, Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait, adalah tepat pada masanya bagi membolehkan negara anggota memanfaatkan platform pelbagai hala itu untuk menangani isu yang dihadapi dunia.

Ini adalah penampilan kedua Perdana Menteri dalam UNGA selepas menghadiri sesi ke-76 tahun lalu secara maya berikutan pandemik COVID-19.

Badan dunia itu menetapkan enam bahasa rasmi di PBB, iaitu bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Perancis, Rusia dan Sepanyol.

Ia digunakan dalam pelbagai perjumpaan PBB dan dalam penulisan dokumen rasmi, termasuk Bahasa ini termasuk ketika Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan.



Setiap perwakilan negara boleh berucap dalam mana-mana satu daripada bahasa ini, atau sebarang bahasa lain dengan menyediakan terjemahan secara langsung kepada satu daripada enam bahasa rasmi.

Ucapan Perdana Menteri dialih bahasa serentak kepada bahasa Inggeris oleh pentejermah. Selain Malaysia, beberapa negara lain menyampaikan ucapan dalam bahasa kebangsaan masing-masing.

Sebelum ini Ismail Sabri menyatakan usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia menjadi dasar kerajaan dan ia antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada. Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.

Katanya, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan.

Menurutnya, rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri dalam memartabatkan bahasa Melayu dan membuktikan bahasa ibunda itu tidak mengekang kemajuan negara.

Menegaskan banyak negara sudah mencapai status maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri, Perdana Menteri meminta seluruh Keluarga Malaysia, terutama penjawat awam memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Arahan juga sudah dikeluarkan supaya semua urusan membabitkan luar negara, termasuk surat menyurat mesti menggunakan bahasa Melayu.

Sejarah keanggotaan Malaysia dalam PBB bermula tidak lama selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman menulis kepada Setiausaha Agung PBB, Dag Hammarskjold untuk menyatakan minat negara menyertai PBB.

Pada 17 September tahun yang sama ketika sesi ke-12 UNGA yang dipengerusikan oleh Sir Leslie Munroe, secara sebulat suara Persekutuan Tanah Melayu diterima sebagai anggota ke-82 melalui resolusi 1134(XII).

PBB ditubuhkan di San Francisco, California pada 24 Oktober 1945 selepas Perang Dunia Kedua dengan ibupejabatnya di San Francisco yang kemudian dipindahkan ke New York setahun selepas itu.

Terkini, PBB dianggotai 193 negara dan dua sebagai anggota pemerhati.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker