Dr M nafi beliau perlekeh pengundi Melayu

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau memperlekehkan pengundi Melayu dengan mendakwa mereka akan menyokong Umno pada pilihan raya umum (PRU15) kerana tawaran wang.

Sebaliknya, Mahathir berkata beliau percaya pengundi ini lebih bijak tentang Umno dan tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN).

“Zahid Hamidi (Presiden Umno) kata saya kata Umno akan menang, tetapi dia tidak teruskan dengan apa yang menyusul kenyataan itu. Saya cuma kata umno akan menang kerana mereka akan sogok wang kepada pengundi.

“Jadi kali ini kalau pengundi menolak wang daripada Umno, Umno tidak akan menang sebaliknya saya yakin pengundi sekarang sedar akan keburukan umno dan mereka tidak akan mengundi bagi pihak umno dan kenyataan saya ialah umno akan kalah,” katanya.

Minggu lalu, Nikkei memetik Mahathir sebagai berkata, Umno mempunyai peluang yang baik untuk memenangi PRU15 kerana ia mempunyai “banyak wang”.

Beliau juga memberitahu Associated Press bahawa kebanyakan pengundi Melayu kembali menyokong Umno kerana wang dan insentif lain.

Sebagai tindak balas, Zahid berkata, Mahathir memperkecilkan pengundi Melayu dan memberitahu bekas perdana menteri itu supaya tidak memperlekehkan kejujuran dan kebijaksanaan mereka.

Mahathir juga berkata majoriti orang Melayu kembali kepada Umno kerana kecewa dengan cara Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selama 22 bulan memerintah.

Dalam videonya hari ini, bekas presiden Umno itu menegaskan perjuangannya bukan untuk mana-mana parti tetapi untuk bangsa Melayu dan masa depan mereka.

Beliau mengulangi bahawa beliau telah keluar dari Umno pada 2016 kerana parti yang dipimpinnya selama lebih 20 tahun telah tersasar daripada perjuangan asalnya untuk orang Melayu.

Mahathir, yang menerajui Bersatu hanya kurang empat tahun, kini mengetuai Pejuang dan Gerakan Tanah Air, sebuah gabungan longgar parti berasaskan Melayu, NGO, ahli akademik dan profesional.

Beliau tidak menyatakan sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

© FMT

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker