Sekampung berpakat redah banjir selamatkan diri

Rantau Panjang: Seramai 80 mangsa membabitkan 16 keluarga di Kampung Kelapa Wangi di sini, terpaksa meredah banjir sejauh 300 meter untuk ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan apabila kediaman mereka digenangi air sejak semalam.

Bagaimanapun, semua mangsa dapat menghela nafas lega apabila mereka didatangi anggota polis dan bomba yang membantu membawa mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas.

Seorang mangsa, Kamarulzaman Salleh, 56, berkata, mereka turut bekerjasama membantu membawa dua orang kurang upaya (OKU) dan warga emas menggunakan perahu untuk keluar daripada rumah kerana bimbang air yang naik mendadak.



“Bukan penduduk tidak mahu berpindah awal tetapi kebiasaannya penempatan kami tidak dinaiki air sedalam ini.

“Kami tidak menyangka paras air sangat tinggi sehingga mencecah satu meter di halaman rumah.

“Sementara menunggu bantuan anggota penyelamat, kami berpakat meredah air bersama-sama memandangkan paras banjir masih selamat untuk dilalui.

“Tambahan pula, laluan untuk masuk ke penempatan kami agak sukar diakses.



“Alhamdulillah, semuanya selamat dan kami lega dapat berpindah ke PPS kerana risau keadaan air di rumah yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui selepas diselamatkan anggota bomba dan polis di Kampung Kelapa Wangi di sini, hari ini.

Sementara itu, Adira Daud, 48, berkata, memandangkan dia bertongkat, jirannya membantu membawanya meredah banjir menggunakan sampan sebelum dibantu pasukan keselamatan ke PPS terdekat.

“Saya hanya membawa beberapa helai baju dan dokumen penting, yang lain biarkan saja di rumah kerana yang diutamakan sekarang adalah keselamatan diri.

“Jika menunggu lebih lama, pasti sukar untuk keluar daripada penempatan kami terutama dengan keadaan saya yang bertongkat dan tidak begitu sihat,” katanya.



Tinjauan di Rantau Panjang hari ini mendapati jalan utama masih digenangi air separas 0.8 meter dan hanya boleh dilalui kenderaan berat atau perahu dan bot.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button