14 hilang tempat tinggal, rumah musnah terbakar

KUCHING : Seramai 14 mangsa daripada lima keluarga yang tinggal di sebuah rumah di Kampung Pulo Ulu, Petra Jaya, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.22 pagi.

Menurutnya, 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Padungan diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.



“Setibanya di lokasi, komander operasi memaklumkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya.

“Turut terbakar sebuah kenderaan dan rumah itu dihuni lima keluarga seramai 14 orang termasuk empat kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya lagi, semua mangsa berjaya melarikan diri tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian itu.



“Punca kejadian masih dalam siasatan lanjut oleh Bahagian Forensik Kebakaran JBPM,” katanya.

Kejadian itu adalah yang kedua berlaku di kampung sama dalam tempoh sembilan hari selepas lima rumah musnah dalam kebakaran 12 Disember lalu yang menyebabkan 44 penghuni hilang tempat tinggal.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button