Dewan Perwakilan AS syor tuduhan jenayah terhadap Donald Trump

WASHINGTON: Anggota panel penyiasat serangan bangunan Capitol di Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan bekas Presiden, Donald Trump didakwa atas pelbagai tuduhan jenayah termasuk pemberontakan sekali gus boleh dikenakan hukuman penjara.

Jawatankuasa siasatan itu menggesa supaya Trump didakwa selepas siasatan selama 18 bulan terhadap serangan ke atas bangunan Capitol oleh penyokongnya pada 6 Januari 2021, selain tuduhan menghalang prosiding rasmi dan konspirasi untuk menipu Amerika Syarikat.

Penggubal undang-undang turut mengesyorkan Trump didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk pemberontakan dan turut mencadangkan siasatan jenayah dengan hukuman penjara.

Panel berkenaan tidak boleh secara sendirinya memfailkan pertuduhan, tetapi boleh mengesyorkan kepada Jabatan Kehakiman yang sudah melantik peguam khas bagi meneliti peranan Trump dalam serangan bertarikh 6 Januari 2021.

Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya lima orang maut selepas kumpulan perusuh diserang ekoran dakwaan palsu Trump mengenai penipuan pilihan raya, yang turut mengarahkan mereka berarak ke Kongres, menyelongkar kerusi demokrasi AS untuk menghalang peralihan kuasa kepada Presiden AS yang dipilih, Joe Biden .

Jawatankuasa siasatan itu juga sebulat suara mengundi untuk merujuk pertuduhan itu kepada Jabatan Kehakiman AS selepas ucapan perasmian oleh Naib Pengerusi, Liz Cheney yang menuduh Trump ‘mengabaikan tugas yang jelas’ kerana gagal menghentikan rusuhan malah menggelarnya sebagai ‘tidak layak untuk berada di mana-mana pentadbiran’.

“Tiada lelaki yang akan berkelakuan sedemikian pada masa itu boleh berkhidmat dalam mana-mana jawatan pihak berkuasa di negara kita lagi,” katanya.

Rujukan itu dilihat sebagai simbolik, kerana panel tidak mempunyai kawalan ke atas keputusan dakwaan, yang terletak pada kuasa Jabatan Kehakiman.

Siasatan itu termasuk serangan ke atas ahli Kongres AS dan cubaan Trump untuk membatalkan pilihan raya presiden 2020 yang dimenangi oleh Biden daripada Parti Demokrat.

Trump yang pernah mengumumkan rancangannya untuk bertanding semula sebagai presiden pada 2024, disapina oleh jawatankuasa Dewan tetapi enggan memberi keterangan.

Selain itu, panel juga menemubual puluhan saksi termasuk mengadakan beberapa perbicaraan awam.

Rentetan serangan ke atas bangunan Capitol AS, ratusan orang ditangkap. Dua daripadanya adalah anggota militia sayap kanan Oath Keeper yang disabitkan dengan hasutan dalam kes paling berprofil tinggi.

Trump didakwa oleh Dewan Rakyat kerana terkait hasutan pemberontakan selepas serangan ke atas bangunan Capitol AS, namun beliau dibebaskan oleh Senat.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker