Peruntukan Belanjawan 11 kementerian lulus di peringkat jawatankuasa

04/12/2020 07:24 AM

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Selepas Belanjawan 2021 lulus di peringkat dasar, peruntukan bagi 11 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa pada minggu kelima persidangan Dewan Rakyat setelah selesai dibahas, digulung dan melalui proses pengundian baik secara suara majoriti atau belah bahagian.

Ada Ahli Parlimen menyifatkannya sebagai kemenangan 11-0 untuk kerajaan Perikatan Nasional selepas peruntukan Belanjawan 2021 bagi semua 11 kementerian yang dibahas minggu ini lulus di peringkat jawatankuasa, empat daripadanya melalui undi belah bahagian.

Bermula Isnin lepas, peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan diluluskan selepas undi belah bahagian, yang menyaksikan 105 Ahli Parlimen menyokong, 95 tidak sokong dan 20 tidak hadir bagi undian JPM.



Peruntukan Kementerian Kewangan pula lulus dengan mendapat sokongan 106 Ahli Parlimen, 95 tidak menyokong dan 19 tidak hadir.

Turut melalui undi belah bahagian ialah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (108 Ahli Parlimen menyokong; 95 tidak setuju; 17 tidak hadir) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (110 sokong; 104 tidak sokong; enam tidak hadir).

Tujuh kementerian iaitu Kementerian Luar; Perpaduan Negara; Pertanian dan Industri Makanan; Pembangunan Luar Bandar; Tenaga dan Sumber Asli; Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilulus dengan undian suara majoriti.

Peruntukan belanjawan bagi 11 kementerian lagi dijadual dibahas untuk kelulusan di peringkat jawatankuasa pada persidangan minggu hadapan.



Antara yang dijangka menarik perhatian ialah giliran Kementerian Kesihatan pada Rabu (9 Dis) yang merupakan antara tumpuan utama Belanjawan 2021 bagi menangani pandemik COVID-19.

Selain itu, giliran Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Khamis (10 Dis) juga dijangka hangat ekoran peruntukan bagi agensi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang menjadi pertikaian kebanyakan Ahli Parlimen.

Kerajaan bagaimanapun bersetuju untuk menjenamakan semula Jasa sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan peranan dan fungsi berbeza.

Dalam pada itu, yang mencuri tumpuan dan menghangatkan persidangan Dewan Rakyat minggu ini adalah isu silap kiraan semasa proses undi belah bahagian untuk Kementerian Kewangan.

Datuk Shabudin Yahya (Bersatu-Tasek Gelugor) yang bertindak sebagai penghitung undi belah bahagian bagi Blok C ketika pengiraan undi menandakan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) bersetuju dalam senarai undi, sedangkan Mohamed Nazri tidak hadir semasa undian belanjawan itu pada Selasa (1 Dis).

Kesilapan itu yang dimaklumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon bagaimanapun tidak mengubah keputusan undi belah bahagian yang meluluskan peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kewangan.

Sidang Dewan Rakyat pada hari berkenaan juga tidak bermula dengan lancar apabila penggera kebakaran berbunyi kira-kira 15 minit selepas sidang berlangsung, menyebabkan Ahli Parlimen dan petugas diarah keluar dari bangunan Parlimen sebagai langkah keselamatan.

Bahagian Keselamatan Parlimen kemudian melakukan pemeriksaan dan mendapati tiada perkara yang mencemaskan berlaku.

Anthony Loke mengaku arah MP DAP tidak bangun

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker