Lebih 15 penumpang feri parah letupan bom di Yangon
YANGON: Seramai 17 penumpang cedera parah dalam satu insiden letupan bom di sebuah feri yang menghubungkan bandar Botahtaung dan Dala, menurut sumber tempatan.
Letupan berlaku kira-kira jam 6.40 petang ketika feri berkenaan berada di tengah-tengah Sungai Yangon.
Bom itu dilaporkan diletakkan di sebelah tangga yang menghubungkan ke dek atas feri Cherry-2 yang bergerak antara Jeti Pansodan dan Dala dalam kejadian Ahad lalu.
“Kebanyakan mangsa cedera parah di bahagian bawah anggota badan dan ada juga di muka,” kata seorang pegawai dari kumpulan amal Shin Than Yay yang mengangkut penumpang yang cedera membabitkan 15 lelaki dan dua wanita ke Hospital Besar Yangon.
“Ia adalah adegan berdarah,” tambah pegawai itu.
Sumber yang rapat dengan hospital mengesahkan mangsa pengeboman sudah dibawa ke kemudahan itu pada hari kejadian.
Gambar yang disiarkan di laman Facebook Shin Than Yay menunjukkan darah di sekeliling tangga Cherry-2, basikal yang rosak dan penumpang yang terjatuh.
Selepas bom itu meletup, feri yang menuju ke arah Dala dilaporkan berpatah balik ke Jeti di Botahtaung.
Hampir 100 penumpang kebanyakannya buruh harian dipercayai berada di atas feri itu ketika letupan, menurut seorang penduduk Dala yang merancang untuk menaiki feri berkenaan.
“Kami terlepas feri semalam, Kami dengar letupan itu semasa kami menunggu feri lain,” katanya kepada Myanmar Now
Tiga kenderaan tentera tiba di jeti Dala untuk memeriksa tempat kejadian selepas letupan, tetapi tidak dilihat menjalankan soal siasat terhadap orang awam di kawasan itu, kata seorang lagi penduduk tempatan.
Dalam satu pengumuman Isnin lalu, majlis tentera menyalahkan ‘pengganas PDF’ atas letupan itu, merujuk kepada Pasukan Pertahanan Rakyat anti-rejim yang setia kepada Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar.
Agensi