Parti PEJUANG dijangka bubar 2023
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Parti PEJUANG yang diasaskan Tun Mahathir dikatakan bakal bubar menjelang 2023 dan semua ahli parti akan diserap masuk ke sebuah NGO.
Cerita ‘kedai kopi politik’ menyatakan semua ini merupakan percaturan terbaru Mahathir bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada PEJUANG dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diasaskannya.
Dipercayai semua ini berlaku kerana kekalahan memalukan Pengerusi PEJUANG, Tun Mahathir dan Presiden PEJUANG, Dato Paduka Mukhriz Mahathir pada PRU15 lepas.
Lebih malang lagi, buat pertama kali Mahathir kalah dan hilang deposit dalam PRU sejak beliau menyertai dunia politik.
Terbaru, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Majlis Eksekutif Pusat (MEP), Khairuddin Abu Hassan meletakkan jawatan kerana tidak yakin dengan Presiden PEJUANG itu sendiri.
“Saya hanya memberi perkhidmatan terbaik dan paling amanah kepada Dr. Mahathir. Apabila perletakan jawatan beliau diterima biro politik Pejuang dan dimaklumkan pada mesyuarat MEP, maka perkhidmatan saya dengan Pejuang tidak relevan lagi.
“Dalam masa yang sama, saya juga telah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Presiden Pejuang,” – Khairuddin Abu Hassan – Utusan Malaysia -20/12/2022
Ini merupakan tamparan hebat kepada PEJUANG yang berusia setahun jagung terutama kepada Mukhriz kerana kelemahan beliau sebagai Presiden semakin ketara.
Mukhriz dan Mahathir menubuhkan PEJUANG selepas disingkirkan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia – PPBM, berikutan konflik ‘Langkah Sheraton’.
PEJUANG bertanding dalam PRU15 dengan menampilkan calon ‘rojak’ namun kalah kesemua kerusi yang ditandingi.
Mahathir mungkin sudah boleh mengorak langkah untuk menjarakkan diri dari dunia politik atas faktor usia tetapi menurut beberapa orang bekas pengikut setia Mahatir, istilah berhenti politik tidak wujud dalam kamus beliau.
Dipercayai, Mahathir telah bersedia untuk menyertai sebuah NGO yang baru ditubuhkan dan akan mencari pengaruh dari kalangan kaum Melayu untuk membuat ‘comeback’ dalam politik.
Kebetulan, Khairuddin juga telah menyertai NGO tersebut dan ini dilihat sebagai muslihat Mahathir yang terbari dengan kerjasama seorang bekas ahli Parlimen untuk memecahkan sokongan orang Melayu terhadap Umno.