Kapal layar Puteri Mahsuri dijumpai
LUMUT: Kapal layar Puteri Mahsuri bersama empat kru warga Myanmar dan seorang nakhoda yang dilapor hilang di perairan Langkawi sejak Isnin lalu, berjaya ditemui semalam.
Jurucakap Markas Pemerintahan Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, kapal terbabit berjaya dikesan jam 1 petang di kedudukan 37.5 batu nautika barat laut Pulau Perak.
Kapal Diraja KD Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (LTLDM) seterusnya digerakkan ke lokasi untuk memberi bantuan awal
“KD Lekiu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan bantuan awal terhadap semua kru Kapal Layar Puteri Mahsuri.
“Kapal layar terbabit kemudian dibawa pulang ke Langkawi kerana mengalami kerosakan jentera. Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan jam 2.30 petang,” katanya.
Sebelum ini Markas Wilayah Laut 3 mengesahkan menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Langkawi berhubung laporan kehilangan kapal layar itu melalui rakan pemilik kapal berkenaan layar itu, Captain William Foo jam 8 pagi Isnin lalu .
Posisi terakhir Kapal Layar Puteri Mahsuri sebelum insiden adalah 14 batu nautika barat Pulau Rebak dan dipercayai hanyut akibat rantai sauhnya terputus sewaktu bersauh di perairan itu.
“Kapal Diraja (KD) Lekiu yang berada di lapangan diatur gerak ke lokasi bersama pesawat Fennec TLDM untuk pencarian di udara sebelum berjaya mengesan posisi kapal layar terbabit,” katanya.
BHOnline