Misi Guardiola belum ‘lengkap’ di City

LONDON: Pep Guardiola menegaskan bahawa tugasnya sebagai pengurus Manchester City “tidak akan lengkap” jika dia gagal menang Liga Juara-Juara.

Guardiola sudah mengumpul sembilan trofi utama termasuk empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pengurus City namun dia masih belum berjaya membawa trofi elit kelab Eropah itu ke Stadium Etihad.

Pengendali berusia 51 tahun itu membantu Barcelona menang dua gelaran Liga Juara-Juara apabila menguruskan gergasi Sepanyol itu selain menang Piala Eropah sebagai pemain di kelab itu pada 1992.

Bagaimanapun kedudukan terbaik pengendali dari Sepanyol itu dalam enam musim penuh di City ialah ketika mereka bergelar naib juara 2021 selepas tumpas 1-0 di final berdepan pencabar EPL, Chelsea.

Guardiola, yang bulan lalu menyambung kontraknya hingga akhir musim 2024/25, berazam bagi membawa trofi kejuaraan kedua selepas mereka menang Piala Juara-Juara Eropah pada 1970.

“Ia bukanlah satu-satunua tetapi saya akui ia trofi yang kami mahukan, dan sudah tentu tempoh saya di sini tidak akan lengkap jika kami tidak memenanginya,” kata Guardiola mengenai Liga Juara-Juara.

“Bukan hanya kerana itu saya menyambung kontrak, memang tidak, tapi saya akan lakukan apa sahaja dalam tempoh kami bersama, dan kami akan cuba – tapi saya katakan perkara sama kerana kami sudah cuba sebelum ini.

“Ia adalah trofi yang kami belum ada dan kami akan cuba melakukannya.”

City yang mara ke separuh akhir musim lalu, akan menyambung usaha mereka mencari kemenangan Liga Juara-Juara menentang RB Leipzig pada kelompok 16 terakhir Februari ini.

Guardiola, yang menyertai City selepas mengetuai gergasi Jerman, Bayern Munich, tidak pernah ragu untuk komited bersama kelab itu.

“Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kerana keyakinan yang mereka ada terhadap saya,” katanya. “Kepercayaan yang diberikan sejak bertahun-tahun ini sukar untuk dibayar. Sukar buat saya menolak mereka.

“Kami akan cuba melakukan yang terbaik. Tiada perkataan yang boleh saya luahkan sebagai penghargaan buat kelab kerana sudi menerima saya di sini.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker