Ramai teruja Siti sampaikan laporan cuaca

KUALA LUMPUR: Kemunculan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyampaikan laporan cuaca di YouTube Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang turut disiarkan saluran Berita RTM, petang tadi, dipuji ramai.

Siti yang mengenakan sut rona hitam tampak bersahaja dan yakin ketika menyampaikan laporan kaji cuaca seluruh negara.

Siti turut memuat naik hantaran ke Instagram (IG) mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta MetMalaysia atas undangan menjadi penyampai itu.



“Terima kasih kepada kementerian melalui MetMalaysia kerana mengundang saya menyampaikan ramalan cuaca hari ini sebagai penyampai selebriti.

“Kolaborasi itu diharap dapat menggalakkan orang ramai mengikuti laporan cuaca dan bertindak mengikut nasihat berkaitan risiko bencana seperti banjir, angin kencang serta laut bergelora,” katanya.

Selain saluran YouTube, laporan kaji cuaca berkenaan turut disiarkan Berita Wilayah di RTM 1 jam 5 petang tadi dan Berita RTM jam 8 malam ini.



Dalam tempoh kurang sejam, video yang disiarkan di saluran YouTUbe itu sudah meraih lebih 1,000 tontonan.

Dalam reaksinya, seorang pelayar YouTube itu mendakwa tidak pernah menonton laporan kaji cuaca.

 



 

“Saya tak pernah tengok berita cuaca. Tapi sebabkan Siti yang sampaikan, saya tengok,” komennya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung kagum dengan cara penyampaian penyanyi tersohor itu.

“Nada Datuk Siti macam penyampai berita dulu-dulu…Best,”



komennya.

Sebelum ini, penyanyi itu pernah muncul membaca berita untuk Awani, kira-kira tiga tahun lalu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button