Tiket aksi Malaysia-Laos, Sabtu ini makin laris

YANGON, Myanmar: Tiket bagi menyaksikan perlawanan kedua skuad Harimau Malaya ibarat ‘pisang goreng panas’ apabila hampir 15,000 keping sudah dijual sekali gus membayangkan Stadium Nasional Bukit Jalil bakal bergegar lagi Sabtu ini.

Malaysia dijadual menentang Laos dalam aksi kedua Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di depan penyokong sendiri dan ia adalah peluang keemasan buat penyokong untuk memberi sokongan padu selaku ‘pemain ke-12’.

Perkembangan memberangsangkan itu dikongsikan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman yang mengakui jualan tiket semakin pantas dengan penyokong berlumba-lumba membelinya secara online.

Malah katanya, penurunan harga tiket daripada RM50 kepada RM30 untuk tempat duduk terbuka membuatkan penyokong tidak menunggu lama untuk mendapatkan tiket itu.

“Dengan penurunan harga tiket sebanyak dua kali selepas Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) memahami denyut nadi penyokong dan mendengar pelbagai pandangan, kita juga ucapkan terima kasih kepada penyokong yang memberi semangat.

“Jadi, kita harap sokongan pemain dapat diteruskan pada aksi berdepan Laos ini. Setakat hari ini (kelmarin), lebih kurang 12,000 ke 15,000 tiket sudah terjual,” katanya.

Pada kempen AFF edisi ke-14 ini, penganjur menggunakan format dua aksi ‘home’ atau laman sendiri dan dua perlawanan ‘away’ (di tempat lawan) pada peringkat kumpulan dengan setiap negara berpeluang menjadi tuan rumah untuk dua aksi.

Lantas, Malaysia tidak terkecuali apabila menjadi tuan rumah untuk pertemuan dengan Laos Sabtu ini serta perlawanan terakhir kumpulan menentang Singapura pada 3 Januari ini.

Selain dua lawan itu, Myanmar dan Vietnam adalah pesaing lain dalam Kumpulan B di mana anak didik Kim Pan-gon perlu bertandang ke negara terbabit untuk aksi di luar Kuala Lumpur.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker