63 syarikat setuju gaji minimum RM3,000 untuk jurutera siswazah

KUALA LUMPUR: Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM) yang menjalankan tinjauan skala gaji jurutera dalam kalangan firma ahli sejak September 2022 mendapati 59 peratus daripada 63 wakil syarikat yang memberi maklum balas, bersetuju cadangan gaji minimum RM3,000 sebulan sebagai gaji permulaan jurutera siswazah.

Presiden ACEM, Ir K Sundaraj, berkata antara faktor mengapa firma ahli ACEM tidak dapat menawarkan gaji minimum disebabkan gangguan akibat kesan pandemik COVID-19 selama dua tahun, industri pembinaan belum pulih ke tahap pra-COVID-19 dan kekurangan buruh semasa, pertumbuhan ekonomi yang lemah serta ancaman kemelesetan global tahun depan.

“Selain itu, yuran perunding yang dikurangkan disebabkan amalan yang meremehkan dan ketidakpatuhan Skala Yuran BEM (SOF), khususnya dalam projek sektor awam, sejak pengeluaran Memorandum Kementerian Kewangan PK 3.2 pada 2018 turut memberi kesan kepada firma ahli ACEM,” katanya dalam kenyataan, semalam.



Sundaraj berkata, ACEM berpendapat, skala gaji permulaan graduan perlu diselaraskan semula untuk meningkatkan perbelanjaan syarikat ketika tempoh cabaran pasaran dan ketidaktentuan ekonomi.

“Dengan pembentukan kerajaan baharu, diharapkan projek besar diumumkan sebelum ini akan dibenar dilaksanakan tanpa berlengah lagi supaya perniagaan pembinaan dan perundingan akan bangkit semula dalam masa terdekat,” katanya.

Sundaraj berkata, ACEM merayu kepada Kementerian Kewangan untuk menyemak semula memorandum PK 3.2 (2018) supaya skala bayaran (SOF) dipatuhi seperti dimandatkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) untuk projek sektor awam.

Katanya, ACEM menjangka lebih banyak firma ahli akan mengangkat cadangan gaji permulaan jurutera siswazah sebagai langkah kecil dalam memastikan kesejahteraan mereka.



“Walaupun ACEM tidak dapat melakukan perkara yang hebat pada masa ini, kami perlu bermula dengan melakukan perkara kecil untuk membantu graduan jurutera memulakan kerjaya kejuruteraan perundingan,” katanya.

Beliau berkata, ACEM sentiasa berada di barisan hadapan dalam mengekalkan kepentingan ahlinya dalam perniagaan dan industri perunding kejuruteraan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button