Bursa Malaysia bercampur-campur pada sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini tinggi sedikit tetapi mula turun dalam beberapa minit kemudian.

Seorang penganalisis berkata ia berlaku selepas pasaran tempatan mengambil petunjuk daripada Wall Street yang menyusut dengan ketara semalaman berikutan kebimbangan akan ada lebih banyak kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, kata seorang penganalisis.

\Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.33 peratus atau 4.86 mata kepada 1,463.49 daripada 1,468.35 pada penutup dagangan Khamis.

Pasaran dibuka 0.81 mata lebih tinggi pada 1,469.16.



Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 250 berbalas 116, manakala 212 kaunter tidak berubah, 1,691 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 251.54 juta unit bernilai RM110.07 juta.

Menurut laporan berita, Purata Perindustrian Dow Jones jatuh sebanyak 348.99 mata, S&P 500 kerugian 56.05 mata dan Komposit Nasdaq merosot 233.25 mata.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata di pasaran domestik pula, FBM KLCI sebaliknya ditutup dalam zon positif pada Khamis berikutan kemunculan kegiatan memburu saham berharga murah walaupun keadaan pasaran masih lagi dalam kebimbangan.



“Penjualan berterusan oleh dana asing agak mengejutkan setakat bulan ini dengan aliran keluar bersih sekitar RM1.34 bilion meskipun iklim politik dalam negeri semakin baik.

“Kami mengunjurkan sentimen akan kekal berhati-hati berikutan berita bahawa China mungkin menyaksikan peningkatan kes COVID-19,” katanya.

Justeru, indeks utama dijangka berlegar dalam julat 1,460-1,470 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.70, Petronas Chemicals turun 11 sen menjadi RM8.29 dan CIMB lemah dua sen untuk mencatatkan harga RM5.76.

Manakala kedua-dua Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM4.40 dan RM6 00.

Bagi saham aktif pula, Careplus menokok 2.5 sen kepada 45 sen, Microlink Solutions menambah 4.5 sen kepada RM1.00, Top Glove meningkat dua sen menjadi 77.5 sen, Artroniq mengembang 1.5 sen kepada 64 sen dan Advance Synergy tidak berubah pada 18 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 28.99 mata kepada 10,510.91, Indeks FBM Emas Syariah turun 34.58 mata menjadi 10,615.09 dan Indeks FBM 70 susut 14.47 mata kepada 12,870.41.

Indeks FBM ACE pula menguncup 27.21 mata kepada 5,474.44 dan Indeks FBMT 100 kerugian 28.91 mata kepada 10,220.76.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga turun 7.06 mata kepada 774.77, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.17 mata menjadi 177.33 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih rendah sebanyak 21.34 mata kepada 16,530.17.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan memperoleh 5.70 mata untuk mencatatkan paras 6,827.70.

– Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker