Man City singkirkan Liverpool

MANCHESTER, United Kingdom: Tandukan Nathan Ake terbukti penting apabila Manchester City menyingkirkan juara bertahan, Liverpool pada Piala Liga menerusi kemenangan dramatik 3-2 di Stadium Etihad sebentar tadi.

Pertembungan kelompok 16 terakhir itu menandakan kembalinya aksi kompetitif dua gergasi bola sepak England selepas rehat Piala Dunia dan pertembungan terbaharu ini jelas sengit.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), City dua kali mendahului menerusi Erling Haaland dan Riyad Mahrez namun Liverpool tidak membuang masa untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Fabio Carvalho dan Mohamed Salah.



Namun selepas Ake menjadikan 3-2 sejurus sebelum sejam perlawanan, pelawat gagal mendapatkan gol penyamaan ketiga.

“Selepas Piala Dunia dan lama tidak bermain, kedua-dua pasukan menakjubkan dengan tahap tinggi dan intensiti,” kata pengurus City, Pep Guardiola kepada Sky Sports.

“Liverpool sangat sukar untuk ditundukkan, apabila mereka bermain baik, mereka akan memusnahkan anda.”

Tambahnya: “Kevin bermain dengan api di dalam dirinya. Dia perlu mencarinya. Pemain yang hebat. Berapa tahun sudah dia berada di sini? Lapan tahun? Dia legenda sebenar.”



Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak meraguinya apabila berkata City adalah skuad “super, super, super yang melakukannya dengan baik sekali,” namun masih merungut mengenai benteng pertahananya.

“Gol yang kami lepaskan sepatutnya tidak berlaku…Kami bermain perlawanan yang bagus tetapi tidak cukup bagus untuk menewaskan City malam ini.

“Banyak yang kami boleh tingkatkan dan kami boleh ke perlawanan berikutnya dengan lebih baik dan itulah yang kami akan lakukan.”

Guardiola menamakan enam pemain Piala Dunia dalam kesebelasan utamanya.



Ake, Manuel Akanji, Aymeric Laporte, Rodri, Kevin De Bruyne dan Ilkay Gundogan semuanya terbabit sejak sepak mula.

Klopp pula, dengan skuadnya mengatasi Chelsea 11-10 pada penentuan penalti panjang di Wembley pada Februari untuk skuad Reds menang Piala Liga kali kesembilan, juga menurunkan skuad terbaik.

Pengendali dari Jerman itu meletakkan Salah dalam penampilan pertamanya di Piala Liga selain final sejak Oktober 2020, Darwin Nunez dan Carvalho.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson juga disenaraikan di bangku simpanan tetapi rakan sepasukan antarabangsa England, Trent Alexander-Arnold langsung tidak terbabit manakala pertahanan Belanda, Virgil van Dijk juga berehat selepas Piala Dunia.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button