Mangsa banjir di Perak meningkat
TELUK INTAN: Bilangan mangsa banjir di Perak meningkat jam 8 pagi ini apabila sejumlah 50 mangsa daripada 17 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.
Berdasarkan laporan harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak, jumlah itu bertambah berbanding jam 10 malam tadi apabila 46 mangsa daripada 16 keluarga direkodkan melibatkan dua daerah sama.
Di Hilir Perak, PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib menempatkan seramai 24 mangsa daripada lima keluarga. Semua mereka terdiri daripada penduduk Lorong Mesra, Kampung Batu 7 ½.
Di Bagan Datuk, PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat bagi menempatkan 26 mangsa daripada 12 keluarga. Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Belukang, Kampung Sungai Tiang Darat dan Kampung Sungai Nipah Darat.
BHOnline