Abang Viva tetap bantu mangsa banjir

Kuala Lumpur: “Saya pergi membantu mangsa banjir di Terengganu dan hari ini, baru sampai di Melaka 7 pagi tadi,” kata Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30.

‘Wira banjir’ yang terkenal dengan aktiviti sukarela membantu mangsa bencana itu di negara ini, memberi reaksi itu susulan segelintir netizen mempersoalkan dia tidak pergi ke tempat bencana bagi menjadi sukarelawan.

Azwan berkata, dia baru pulang dari misi bantuan banjir di beberapa lokasi terjejas bencana itu di Terengganu sejak enam hari lalu.



“Untuk cerita itu (dakwaan tidak mahu membantu mangsa banjir) bukan saya tak mahu tolong tetapi saya ada pergi juga Terengganu di Kuala Berang, Jerteh, Paka dan beberapa tempat lain.

“Cuma macam Kelantan saya tak dapat masuk sebab kebanyakkan jalan utama (ke negeri itu) tutup.

“Saya sudah sampai di Melaka 7 pagi tadi, jadinya enam hari saya di sana (Terengganu),” katanya ketika dihubungi Harian Metro melalui WhatsApp, hari ini.



Terdahulu, media melaporkan Azwan meluah rasa kecewa apabila ada individu yang mempersoalkan sekiranya dia tidak ke tempat bencana bagi menjadi sukarelawan.

Azwan melalui TikToknya baru-baru ini dipetik memaklumkan, orang ramai sepatutnya perlu pertimbangkan statusnya kini yang sudah berkeluarga selain kerja sukarelawan bukanlah tugas hakikinya.

Bagaimanapun, luahannya itu tetap kurang disenangi segelintir netizen, malah ada yang berpendapat nada suara Azwan juga sudah berlainan dalam meluahkan soal membantu mangsa banjir sejak sudah berkahwin.

Mengulas lanjut, Azwan mendakwa video yang dimuat naik seorang individu tidak dikenalinya itu adalah video tidak lengkap yang diambil dari penstriman langsung di TikToknya sekali gus menimbulkan salah faham.



“Video itu diambil tidak habis saya balas pada satu komen yang disifatkan negatif di situ (live). Untuk pengetahuan juga sebelum banjir yang baru ini, sebelum itu Terengganu dan Kelantan sudah banjir juga saya baru balik (dari negeri itu).

“Itu yang saya cakap modal saya ke Terengganu untuk minyak serta tol sudah hampir RM1,000 dan saya menggunakan duit poket sendiri.

“Saya cakap macam itu sebab membalas komen dan masa itu pun banjir (yang berlaku ketika ini) baru mula mereka sudah komen macam itu,” katanya.



Azwan berkata, dakwaan yang mengaitkan statusnya kini yang sudah berkahwin disifatkan tidak berasas dan ia tidak menjadi isu kerana isteri, Eva Noza Zakaria sentiasa menyokong apa yang dilakukan selagi tidak melampaui statusnya.

“Bukan sebab saya sudah kahwin, penat untuk membantu, sudah ada kenderaan baharu diberi orang atau terkenal. Semua itu tak pernah terfikir pada saya.

“Saya turun (pergi membantu mangsa banjir) enam hari di Terengganu bawa isteri bersama dan dia juga membantu sekali di sana.

“Jadi perkara ini tidak menjadi isu dan dia (isteri) tidak mengongkong saya asalkan tahu batas dan status sebagai suami,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button