Bursa Malaysia dijangka kekal tidak menentu minggu hadapan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam julat yang sempit minggu depan dengan indeks utama berlegar sekitar paras 1,470-1,500, kata seorang penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng turut mengunjurkan dagangan yang lengang pada minggu depan sempena perayaan Krismas dan cuti akhir tahun.

“Namun begitu, kami tidak menolak kemungkinan pergerakan cergas akhir tahun yang mungkin boleh menolak indeks penanda aras ke paras melebihi 1,500 mata,” katanya kepada Bernama.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes pula berkata sentimen di Asia dirangsang oleh ikrar penggubal dasar China untuk menyokong ekonomi yang lebih luas semasa proses pembukaan semula.

“Dilaporkan pelancong yang memasuki negara itu hanya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari, dan ini menunjukkan China berada di landasan pantas untuk membuka semula negaranya.

“Justeru, saya berpendapat pelabur tempatan akan kekal sebagai pembeli oportunistik dalam sebarang penjualan,” katanya.

Pada asas Jumaat-ke-Jumaat, indeks utama turun 3.86 mata kepada 1,474.68 daripada 1,478.54 seminggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kerugian 17.92 mata menjadi 10,589.29, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 40.70 mata kepada 10,707.72 dan Indeks FBMT 100 turun 11.10 mata kepada 10,301.19.

Sementara itu, Indeks FBM ACE merosot 18.73 mata kepada 5,480.67 manakala Indeks FBM 70 mengembang 54.95 mata menjadi 12,981.61.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.34 mata kepada 178.92, Indeks Perladangan turun 252.70 mata menjadi 6,785.23 dan Indeks Tenaga lemah 9.56 mata kepada 781.75, tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 60.53 mata kepada 16,624.03.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan menjadi 13.33 bilion unit bernilai RM7.85 bilion daripada 13.59 bilion unit bernilai RM9.41 bilion pada minggu sebelumnya.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangannya turun kepada 7.56 bilion saham bernilai RM5.73 bilion berbanding 8.33 bilion saham bernilai RM7.68 bilion minggu lalu.

Sementara jumlah waran meningkat kepada 1.54 bilion unit bernilai RM328.58 juta daripada 1.47 bilion unit bernilai RM315.35 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 4.23 bilion saham bernilai RM1.78 bilion berbanding 3.78 bilion saham bernilai RM1.41 bilion seminggu lalu.

– Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker