Harus tiga mata, bukan dimalukan Laos malam ini
KUALA LUMPUR: Jika istilah `rantai makanan’ dijadikan sebagai rujukan, Malaysia dan Laos boleh disifatkan memiliki hubungan seperti pemangsa dan mangsa berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam semua pertandingan.
Mana tidaknya, Laos sentiasa menjadi ‘santapan’ buat skuad Harimau Malaya selepas rekod pertemuan sejak 1968 menyaksikan Malaysia menang 11 pertemuan dan seri lima kali daripada 17 pertembungan.
Hanya sekali Laos berjaya mencipta kejutan ke atas Malaysia menerusi kemenangan 1-0 pada temasya Sukan SEA 1997.
Itu berlaku 25 tahun lalu dan ada beberapa pemain negara yang belum pun lahir ketika kali terakhir keajaiban itu berlaku.
Malah, Laos berterusan menjadi ‘lubuk’ mata percuma buat pasukan negara setiap kali bertemu di saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dengan Malaysia menang lima daripada tujuh pertemuan dan seri dalam dua perlawanan.
Jumlah jaringan yang juga bukan kecil. Ada 5-0, ada 5-1 dengan kali terakhir menyaksikan mereka dibelasah 4-0 pada edisi lalu yang berlangsung di Singapura.
Ini realiti yang harus ditelan Laos selepas jurang yang besar antara skuad bimbingan Micheal Weiss itu dengan anak buah Kim Pan Gon – Laos berada 41 anak tangga di bawah kuad negara dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Namun, berdasarkan aksi sulung anak buah Pan Gon ketika berdepan Myanmar yang menyaksikan skuad negara sekadar menang tipis 1-0, ini sedikit sebanyak memberi harapan kepada Laos untuk melakar kejutan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Jika kualiti sama dihidangkan barisan pemain negara, tidak mustahil Laos mampu mengecewakan Malaysia sekali gus merenggut misi negara yang pasti turun untuk mengutip kemenangan kedua berturut turut pada kempen kali ini.
Harus diingat, barisan skuad Gajah Muda pernah mengaibkan barisan muda negara di pentas Piala AFF B-23 Februari lalu dan ramai daripada skuad itu kini membarisi skuad yang dibawa ke Piala AFF 2022.
Selepas memalukan Harimau Muda, Laos pasti mengintai peluang untuk mengejutkan pula pasukan senior di sebalik situasi pasukan negara yang masih lagi mencari rentak dan belum berada pada prestasi terbaik.
Ditambah pula selepas dibelasah Vietnam 6-0 pada aksi pembukaan, mana mungkin Laos mahu terus diperlakukan sedemikan rupa bagi aksi kedua ini.
Pemain tengah Laos, Phithack Kongmathilath mengakui aksi ini sememangnya ujian yang besar buat barisan pemain namun tidak bermakna mereka akan menyerah kalah.
“Kami sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan ini,” katanya.
Ingat skuad Harimau Malaya, jangan sama sekali merendahkan martabat Malaysia dengan tewas di tangan Laos – hanya kemenangan boleh diterima selepas wisel penamat dibunyikan malam ini.
Pemain tengah skuad kebangsaan, Brendan Gan mengakui skuad kebangsaan berada dalam situasi positif susulan kemenangan 1-0 ke atas Myanmar, sebelum ini.
“Ini antara kekuatan pasukan ini, di mana pemain mampu menguruskan situasi dengan baik apabila apa yang dirancang tidak berjalan lancar,” katanya.
BHOnline