Bilik kebal untuk tamadun manusia

Oslo: Tidak ramai yang tahu mengenai Svalbard Global Seed Vault iaitu bilik kebal di Norway, yang kini menempatkan 1.2 juta benih tumbuhan dari seluruh dunia.

Ia dibina bagi menempatkan sampel berkenaan bagi mengelak mana-mana tumbuhan pupus berikutan pelbagai faktor termasuk krisis kemanusiaan atau bencana alam.

Fasiliti ini terletak di sebuah sebuah pulau glasier terpencil di kepulauan milik Norway di tengah-tengah Lautan Artik. Ironinya, lokasi pulau ini yang berada melebihi Garisan Artik menyebabkan tiada satu pokok yang tumbuh di sini.

Menurut laman web Impakter.com, bilik kebal ini adalah inisiatif bersama Kerajaan Norway menerusi Kementerian Pertanian dan Makanannya, dengan kerjasama Crop Trust, di samping mendapat tajaan daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Fasiliti yang mula beroperasi pada 2008 ini mampu menampung sehingga 4.5 juta sampel benih tumbuhan, tetapi dan hanya dibuka tiga kali setahun.

Pada masa lain, bilik kebal ini ditutup sepenuhnya bagi mengelak ia memberi kesan terhadap benih yang disimpan di dalamnya.

Di dalamnya, benih ini disimpan dalam ‘keadaan kotak gelap’ dengan keadaan dan suhu di dalam gua ini membolehkan benih berkenaan terpelihara dan dapat digunakan untuk ribuan tahun lagi.

Sampel ini terdiri daripada benih yang diperlukan untuk aktiviti pertanian sedia ada, sehingga kepada benih pelbagai jenis tumbuhan tempatan, di samping sampel yang tidak lagi digunakan atau tidak lagi boleh didapati.

Di dalam bilik kebal ini, ada pelbagai jenis sampel dari semua benua. Misalnya, benih tumbuhan yang juga tanaman ruji di Afrika dan Asia seperti gandum dan padi, sehingga kepada sayuran di Eropah dan Amerika Selatan seperti terung, salad, barli dan kentang.

Berdasarkan rekod terkini Impakter.com pada September 2022, terdapat 3,000 jenis sampel kelapa, 4,500 jenis sampel kentang, 35,000 jenis sampel jagung, 125,000 jenis sampel gandum dan 200,000 jenis sampel padi.

Kenapa Svalbard dipilih sebagai lokasi bilik kebal ini?

Menurut Impakter.com, lokasinya terletak di lokasi terpencil yang berdekatan dengan Kutub Utara dan kira-kira 2,000 kilometer dari pulau utama Norway.

Lokasi Svalbard juga strategik apabila berada 1,700 meter (m) dari paras laut. Bilik kebal ini juga dibina 130 meter dalam ibun abadi (permafrost) di pergunungan. Ibun abadi ini merujuk kepada lapisan tanah yang berada di bawah paras suhu beku sepanjang tahun dan hanya ada di wilayah kutub.

Dengan semua ciri-ciri ini, ditambah dengan lokasinya yang jauh dan keadaan tundra iaitu kawasan tanah pamah yang luas, sejuk, dan tidak ditumbuhi pokok, ia adalah lokasi ideal untuk bilik kebal ini.

Ini, menurut Impakter.com, menjadikan Svalbard sebagai lokasi paling kering, sejuk dan paling selamat di bumi, apabila ia jauh dari kawasan yang bergolak dengan perang, atau mengalami ketidaktentuan iklim dan cuaca.

Sumbangan dan Manfaat

Pada Oktober lalu, Reuters melaporkan bilik kebal ini menerima sampel terbaharu termasuk kali pertamanya membabitkan dari Iraq dan Uruguay, menurut Kementerian Pertanian dan Makanan Norway.

Pada ketika itu, sejumlah 45,000 sampel daripada bank genetik dari Asia, Australia, Eropah dan Amerika Latin diterima menjadikan jumlah sampel terkini dalam bilik kebal itu kepada 1.2 juta.

Sehingga kini, bilik kebal itu sudah membantu Syria yang mendapatkan sampel tumbuhan dari sini selepas negara itu dilanda kemusnahan teruk akibat perang saudara, antara 2015 sehingga 2019.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker