Potter kini lebih yakin bawa Chelsea
London: Graham Potter menegaskan bahawa dia kini lebih yakin untuk memainkan peranannya berbanding sebelum ini selepas bertemu dengan salah seorang pemilik Chelsea semasa lawatan ke California ketika Piala Dunia.
Potter menghabiskan masa seminggu di pantai barat Amerika Syarikat (AS) bersama isterinya selepas menyaksikan Chelsea tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum rehat Piala Dunia yang menyebabkan mereka ketinggalan lapan mata daripada empat pasukan teratas.
Namun bekas pengendali Brighton yang mengambil alih tugas Thomas Tuchel pada September lalu mengakui dia sedar dia perlu menghadapi situasi itu dengan Potter mendedahkan satu perbincangan yang positif dicapai dengan pemilik bersama, Behdad Eghbali yang terus memberi galakan.
“Saya lebih yakin malah lebih menyedari sokongan yang saya ada sekarang berbanding tiga bulan lalu ketika saya mengambil alih tugas itu,” katanya.
“Jadi ia memberi tahu anda sesuatu. Ini adalah penghargaan dari mereka serta sokongan mereka dan cara mereka berkomunikasi dengan saya – ia sangat hebat.
“Kami semua tahu tekanan dan tuntutan di kelab ini tetapi kami juga mempunyai orang yang cukup dan boleh melihat perspektif di mana kami berada untuk dapat berkata, ‘di sinilah kami berada, bagaimana kami boleh meningkatkan?”
Potter menambah: “Ketika saya di California saya bertemu Behdad dan mengadakan satu perbincangan yang baik bersamanya. Sokongan yang hebat.
“Saya tidak sabar menantikan bulan dan tahun-tahun akan datang. Kami memahami cabaran akan datang tapi itulah perjalanan kami pada masa ini.
Chelsea akan melayan Bournemouth awal pagi Rabu sebelum berkunjung ke Nottingham Forest pada tahun baru.
Skuad Potter kemudiannya akan berdepan Manchester City dua perlawanan berturut-turut iaitu dalam saingan liga dan Piala FA
Potter mengakui bahawa mereka perlu bermain untuk mengatasi defisit dalam perlumbaan kelayakan Liga Juara-Juara.
METRO