‘Beri tempoh enam bulan kepada penduduk Kampung Sungai Baru’ – Johari Ghani

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Sungai Baru yang diarahkan berpindah baru-baru ini, bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan itu sepatutnya diberikan tempoh enam bulan untuk mencari tempat tinggal baharu, kata Datuk Seri Johari Ghani.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu menyarankan kepada pemilik yang memerlukan lebih masa untuk berpindah agar membuat surat rayuan kepada Jabatan Tanah & Galian dan pemaju. Beliau akan menyokong setiap permohonan tersebut.

Johari berkata, pertemuan juga sudah dibuat dengan Datuk Bandar bertujuan membantu menempatkan baki penduduk yang belum mendapat rumah untuk berpindah, supaya dapat ditempatkan di rumah sewa awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).



Selain itu katanya, beliau juga akan melantik peguam bagi mewakili 90 peratus pemilik yang telah berpindah daripada kawasan itu agar dapat memantau supaya pemaju dapat memulakan projek berkenaan dengan segera, sekali gus memastikan unit baharu kediaman dikembalikan kepada pemilik yang sudah menunggu begitu lama.

Tambahnya, pemilik yang telah dibayar pampasan sepenuhnya oleh pemaju perlu ditawarkan unit baharu, sekiranya mereka berminat untuk membeli kediaman itu apabila siap kelak.

Johari turut mengkritik mengenai ketiadaan koordinasi yang baik antara pemaju, wakil rakyat dan Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum pemilik diarahkan berpindah pada 2019 dan menyebabkan perkara itu menjadi “rumit” apabila lebih 90 peratus telah bersetuju untuk berpindah.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana projek pembangunan semula pada masa akan datang.



“Kita perlu memastikan pemaju tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 sewenang-wenangnya kepada pemilik yang tidak bersetuju dengan pembangunan semula,” katanya seperti oleh dilaporkan FMT.

Johari berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai baki penduduk Kampung Sungai Baru yang menentang projek pembangunan semula selepas diarahkan berpindah menjelang pertengahan Januari ini.

Menurut The Vibes, Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Baru berkata notis Borang K sudah dikeluarkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Borang itu menyatakan penduduk diberi masa 30 hari (bermula minggu lalu) untuk mengosongkan kediaman masing-masing.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button