Kane bantu Tottenham bangkit ikat Brentford

LONDON: Harry Kane tampak sudah melupakan detik hitam di Piala Dunia apabila menjaringkan gol yang mencetuskan kebangkitan Tottenham ketika seri 2-2 menentang Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Komuniti Gtech, sebentar tadi.

Kane yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi suku akhir Piala Dunia menentang Perancis yang menjadi punca England tersingkir, menanduk masuk bola pada minit ke-65 untuk merapatkan jurang selepas skuad kendalian Antonio Conte ketinggalan 2-0.

Gol itu jelas membakar semangat Spurs yang kemudian mengikat kedudukan 2-2 menerusi rembatan Pierre-Emile Hojbjerg yang menewaskan David Raya, enam minit kemudian.

Malah, Kane sepatutnya menjaringkan gol kemenangan tetapi tandukannya pada minit ke-82 sekadar menggegar palang gol.



Pada aksi EPL yang kembali bersambung pada Hari Boxing selepas rehat Piala Dunia itu, tuan rumah bagaimanapun terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-15 menerusi Vitaly Janelt yang mudah menolak masuk menewaskan Fraser Forster.

Kesilapan Eric Dier yang memberikan sepakan sudut kepada lawan jelas membawa padah apabila Ivan Toney meletakkan The Bees selesa 2-0 pada minit ke-54.

Keputusan seri itu menyaksikan Spurs gagal memintas Newcastle di kedudukan ketiga apabila masing-masing menghimpun 30 mata tetapi The Magpies memiliki kelebihan jaringan dan skuad kendalian Eddie Howe itu akan turun menentang Leicester sebentar lagi.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker