Kerap jatuh beri pelbagai kesan buruk
Kota Bharu: Di Malaysia dianggarkan terdapat 8.5 kes jatuh bagi setiap 100 individu setahun dan apabila seseorang itu kerap jatuh ia boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk.
Pakar Perubatan Geriatrik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Nurbaya Mohd Nawi berkata, jatuh akan mengakibatkan kesan buruk kepada individu serta mengakibatkan kecederaan fizikal seperti patah tulang, pendarahan di dalam otak, kemerosotan pergerakan dan fungsi harian seseorang selain kesan terhadap psikologi seperti kebimbangan yang melampau (anxiety), kemurungan dan juga ketakutan untuk berjalan lagi.
Katanya, jatuh adalah salah satu sindrom geriatrik ataupun perkara yang sering berlaku dalam kalangan warga emas dan sekiranya seseorang itu menghidap kerapuhan tulang atau osteoporosis kepadatan tulang menjadi semakin berkurang menyebabkan ia mudah patah.
“Tulang yang sering patah adalah seperti tulang belakang, tulang pinggul dan tulang lengan. Bagi pesakit yang mempunyai penyakit osteoporosis, kesan akan menjadi lebih teruk sekiranya mereka jatuh.
“Osteoporosis berpunca daripada cara hidup individu yang tidak aktif, merokok, pengambilan alkohol, pengambilan ubat berunsur steroid untuk jangka masa panjang, kurang kalsium dan vitamin D, berat badan yang rendah, masalah penyerapan zat seperti ‘Celiac Disease’ dan ‘Menopause’ pada usia muda,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Dr Siti Nurbaya berkata, penyakit osteoporosis tidak menunjukkan simptom pada peringkat awal, namun terdapat individu yang mengalami sakit sendi atau tulang serta kepatahan tulang berimpak kecil.
“Di samping itu, golongan warga emas yang menghidap osteoporosis akan menjadi semakin membongkok akibat tulang belakang yang rapuh dan patah menyebabkan perubahan bentuk tulang belakang mereka.
“Bagaimanapun, osteoporosis kini boleh dirawat memandangkan banyak rawatan yang dapat dilakukan supaya tulang dapat menjadi lebih padat untuk mencegah daripada patah apabila seseorang itu jatuh,” katanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat mengenalpasti risiko untuk jatuh atau sering jatuh serta mendapatkan pemeriksaan doktor supaya faktor-faktor risiko dapat dilihat.
“Selain itu, masyarakat juga harus peka sekiranya seseorang individu atau warga emas itu jatuh, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera kerana risiko untuk patah tulang sangat tinggi dan perlu dirawat segera,” katanya.
METRO