Magpies mula bermimpi merebut trofi

Leicester: Eddie Howe mengakui penyokong Newcastle mula mengimpikan persaingan perebutan kejuaraan Liga Perdana yang sebelum ini tidak pernah dijangka mereka selepas menang 3-0 Leicester malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Howe kini melonjak ke tempat kedua liga hasil jaringan separuh masa pertama di Stadium King Power.

Penalti Chris Wood, percubaan Miguel Almiron dan jaringan Joelinton memberikan Newcastle tiga gol dalam tempoh 32 minit pada perlawanan liga pertama mereka sejak rehat Piala Dunia.

Howe gembira melihat momentum sebelum Piala Dunia Newcastle tidak terjejas selepas berehat.

Ia satu permulaan yang cemerlang dalam kempen Magpies dan Howe sedar peminat Newcastle yang dahaga kejayaan selama beberapa dekad mula bermimpi untuk menamatkan penantian mereka merebut trofi.

“Saya tidak pernah berubah untuk itu. Saya tidak mempunyai masalah dengan penyokong bermimpi dan bercakap atau membuat spekulasi tentang apa yang boleh kami capai dan sudah pasti media akan melakukannya, saya tidak boleh mengawalnya,” kata Howe.

“Apa yang kami boleh lakukan ialah terus fokus terhadap apa yang kami boleh kawal dan mengekalkan corak latihan serta persiapan kami.

“Kami tidak perlu melihat terlalu jauh ke depan serta mendengar apa yang diperkatakan di luar sana. Fokus kami hanya kepada latihan dan mengharungi perlawanan demi perlawanan.

“Ini adalah liga paling sukar di dunia dan lawan kami sudah pasti sedang memerhatikan dan melakukan persediaan untuk kami, jadi kami juga perlu bersedia,” kata Howe.

Buat pertama kali sejak era Kevin Keegan pada tahun 90-an, Newcastle kini berada dalam kelompok teratas perebutan kejuaraan.

Mereka tidak pernah memenangi trofi utama sejak Piala Inter Cities Fairs 1969, manakala kejuaraan domestik terakhir ialah Piala FA 1955.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker