Skuad negara terima tamparan hebat Masters Malaysia

KUALA LUMPUR: Kem badminton Malaysia menerima tamparan hebat selepas tiada seorang pun pemain perseorangan negara sama ada lelaki atau wanita melangkah ke suku akhir Masters Malaysia, di sini esok.

Pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong terkandas pada aksi pusingan kedua di Arena Axiata di sini hari ini, selepas tewas 21-18, 21-16 di tangan pemain pilihan keempat kejohanan, Chou Tien Chen dari Taiwan.

Biarpun tewas, pemain nombor 48 dunia itu berhak diberi pujian kerana mempamerkan semangat yang tinggi tetapi kelebihan pengalaman Tien Chou membawanya mara ke suku akhir.

Tze Yong berkata beliau hanya perlu meningkatkan tahap kekuatan fizikal dan staminanya untuk menyaingi pemain dengan ranking lebih tinggi seperti lawannya hari ini di masa hadapan.



Pemain berusia 22 tahun itu berkata penyertaan dalam Terbuka Malaysia minggu lalu dan Masters Malaysia meningkatkan keyakinannya untuk beraksi dalam Sukan Komanwel di Birmingham, England yang dijadualkan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos.

“Saya tidak mahu memikirkan pingat di Sukan Komanwel pada masa ini kerana saya berharap untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan di sana,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Tze Yong tersingkir awal dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia 2022 selepas ditewaskan Lu Guang Zu dari China, 16-21, 23-21, 18-21.

Biarpun pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei bermain secara agresif untuk mengatasi bintang Taiwan, Tai Tzu Ying 21-16 dalam set pertama, bekas juara remaja dunia itu kelihatan tidak bertenaga dalam set seterusnya sebelum tewas kepada Tzu Ying 7-21, 9-21.



Jin Wei yang adalah pemain nombor 69 dunia sedih kerana tidak dapat meneruskan kemaraannya dan mengakui terdapat jurang besar antara beliau dengan Tzu Ying yang berada di kedudukan kedua ranking dunia.

“Saya memberikan 200 peratus dalam set pertama dan kemudian saya hilang tenaga untuk berjuang dalam set kedua dan ketiga. Saya perlu meningkatkan stamina saya dan mempelajari banyak perkara daripada Tzu Ying terutamanya dalam strategi dan kesabaran beliau sepanjang perlawanan,” katanya.

Pada masa sama, juara Belia Olimpik 2018 itu berkata beliau kini selesa dengan pilihannya untuk beraksi secara profesional tetapi mengalu-alukan sebarang bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) atau Institut Sukan Negara (ISN) untuk menjadikan beliau seorang pemain terkemuka di masa hadapan.

“Ya, semuanya bergantung kepada mereka (MSN dan ISN) tetapi saya sudah membuat keputusan dan bersedia untuk ini (menjadi profesional). Jika mereka ingin membantu ia adalah satu bonus kepada saya,” katanya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker