PETRONAS setuju bina kemudahan LNG terapung di Sabah

KOTA KINABALU: PETRONAS mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) bagi pembangunan kemudahan gas asli cecair (LNG) berhampiran pantai di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata kontrak Perolehan Kejuruteraan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi projek itu diberikan kepada pemenang pertandingan Reka Bentuk Kejuruteraan Bahagian Hadapan (FEED) pada Oktober tahun lalu.

Beliau berkata, projek LNG itu adalah langkah tepat sejajar usaha berterusan kerajaan negeri untuk mendapatkan lebih banyak hasil tambahan melalui penyertaan ekuiti untuk Sabah.



“Projek LNG ini adalah hasil daripada kajian bersama di antara kerajaan negeri dan PETRONAS untuk mengenal pasti pilihan pengewangan gas yang optimum dalam usaha memaksimumkan putaran ekonomi jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya menerusi kenyataan bersama PETRONAS dan kerajaan Sabah, hari ini.

FID berkenaan dan pemberian kontrak EPCC itu menandakan satu lagi pencapaian signifikan bagi projek berkenaan yang akan beroperasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di Sipitang.

Kemudahan LNG itu, yang dijangka memulakan operasi komersial pada separuh kedua 2027 mampu mengeluarkan dua juta tan setahun (MTPA) LNG.



Dengan beroperasinya loji terbaharu LNG itu juga, Sabah bakal memiliki kemudahan LNG terapung dengan kapasiti terbesar di dunia ketika ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PETRONAS yang juga Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas PETRONAS, Adnan Zainal Abidin, berkata PETRONAS akan terus menyokong penggunaan gas asli secara meluas sejajar transisi ke arah rendah karbon pada masa depan.

“Kami akan memanfaatkan kepakaran teknologi untuk pembangunan projek ini bagi membuka sumber gas secara optimum dan mesra alam sekitar. PETRONAS kekal dengan tekad untuk menyokong aspirasi kerajaan negeri Sabah untuk industri minyak dan gas.



“Pembangunan kemudahan di bawah Pelan Induk Gas Sabah ini akan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Malaysia sebagai hab gas asli yang menarik serta menyumbang kepada kemakmuran Sabah dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Kemudahan LNG berhampiran pantai itu turut mengembangkan lagi portfolio global PETRONAS dalam aset LNG, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat penyedia LNG terbesar di dunia.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button