Ringgit dibuka tinggi, RM4.41 sedolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disebabkan kekurangan permintaan terhadap dolar AS ketika musim cuti.

Pada 9.01 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.4150/4200 berbanding dolar AS daripada 4.4225/4260 sewaktu ditutup pada Jumaat lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata aktiviti perdagangan mungkin lengang pada minggu terakhir pada tahun ini apabila ringgit diniagakan dengan kecenderungan yang memberangsangkan susulan langkah China untuk mempercepatkan pembukaan semula sempadan negara itu.

“Walaupun saya menjangkakan dagangan yang perlahan pada minggu ini, ringgit mungkin boleh meningkat sekiranya sentimen risiko Asia terus meraih bacaan yang menggalakkan dalam data inflasi indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang dikeluarkan pada Jumaat lalu,” katanya kepada Bernama.



Menurut laporan berita, PCE AS meningkat 4.7 peratus tahun ke tahun pada November, namun susut berbanding kenaikan lima peratus pada Oktober.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia diniagakan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2803/2850 daripada 3.2754/2785 sewaktu ditutup pada Jumaat dan susut berbanding euro kepada 4.6993/7046 berbanding 4.6927/6964 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3186/3228 daripada 3.3352/3381 sewaktu ditutup minggu lepas dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3324/3385 daripada 5.3349/3391 sebelum ini.



Pasaran ditutup pada Isnin susulan cuti umum gantian sempena Hari Krismas pada Ahad.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker