Buat janji temu di fasiliti kesihatan primer guna MySejahtera bermula hari ini

KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) bermula hari ini, memperluaskan sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera sedia ada di semua fasiliti kesihatan primer untuk mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dengan mengambil kira masa menunggu yang lama di fasiliti KKM.

Sistem janji temu secara dalam talian ini bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelak kesesakan di tempat pendaftaran serta menunggu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata perkhidmatan itu dimulakan di 673 klinik kesihatan secara berfasa bermula dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), saringan kesihatan Peka B40 dan khidmat berhenti merokok.



Beliau berkata, perkhidmatan ini akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat termasuk rawatan pesakit luar, pemeriksaan kesihatan pra-pekerjaan dan pra-pengajian, saringan praperkahwinan, perkhidmatan perancang keluarga dan prosedur seperti rawatan luka serta penukaran tiub.

“KKM sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan supaya sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021-2025 KKM menerusi Teras Strategik 2 iaitu Pemantapan Teknologi Baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zaliha berkata, antara kelebihan sistem janji temu secara dalam talian ini termasuk pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa, selain boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa membuat panggilan ke fasiliti kesihatan.



Selain itu, beliau berkata, sistem ini juga mempunyai fungsi peringatan automatik yang memberi peringatan kepada pengguna untuk menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh ditempah.

Bagaimanapun, katanya, bagi kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan tanpa perlu membuat janji temu.

“Sistem janji temu menerusi aplikasi MySejahtera ini sudah mula sepenuhnya dan tempahan boleh dilakukan bermula hari ini.



“Kita berharap dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan ini, program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer dapat dihebahkan kepada orang awam dan menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button