Bursa Malaysia kurang cergas menuju akhir tahun



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka kebanyakannya tidak berubah pada Rabu, dengan indeks penanda aras bergerak di antara wilayah peningkatan dan penurunan pada permulaan hari dagangan.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.27 mata kepada 1,474.96 daripada 1,474.69 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka 1.14 mata lebih rendah kepada 1,473.55.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 149 berbanding 133, manakala 227 kaunter tidak berubah, 1,760 kaunter tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.



Jumlah dagangan sebanyak 148 juta unit bernilai RM68.8 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan mungkin bersedia untuk pulih, disokong oleh aktiviti pembelian semasa harga murah memandangkan tindakan China melonggarkan langkah kuarantin COVID-19 sewajarnya menambah baik sentimen.

Walau bagaimanapun, firma pembrokeran itu menjangkakan aktiviti pengambilan untung yang pantas di Wall Street boleh menjejaskan permintaan terhadap ekuiti global.

Pasaran saham AS ditutup bercampur-campur dengan Indeks Dow Jones mencatatkan kenaikan kecil, manakala Nasdaq susut apabila pelabur telah sedia mempertimbangkan kesinambungan hasil tinggi ditambah dengan kebimbangan mengenai prospek ekonomi bagi 2023.



“Dari segi komoditi, harga minyak mentah Brent stabil di atas paras AS$84 setong susulan prospek pembukaan semula permintaan dari China serta tindakan Russia melarang bekalan ke negara-negara yang mengenakan had harga.

“Sementara itu, harga minyak sawit mentah (MSM) ditutup melebihi RM4,100 satu tan,” jelasnya dalam nota penyelidikan.

Firma itu menjelaskan, justeru, ini boleh menjadi pemangkin bagi permintaan berterusan untuk kaunter tempatan berkaitan tenaga dan sawit.

Kebanyakan saham wajaran tinggi perbankan pulih sedikit daripada penurunan ketara semalam dengan Maybank dan CIMB masing-masing meningkat tiga sen kepada RM8.67 dan RM5.68 manakala RHB dan Public Bank masing-masing naik dua sen kepada RM5.67 dan RM4.32.



Sementara itu, Sime Darby Plantation susut 10 sen kepada RM4.47 selepas kenaikan kukuh berterusan pada sesi sebelum ini. IOI dan KLK masing-masing kurang dua sen kepada RM4.02 dan RM21.72.

Bagi saham aktif, Cypark Advance naik tiga sen kepada 47 sen, Berjaya menambah satu sen kepada 30.5 sen dan Top Glove menokok setengah sen kepada 93 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 4.02 mata kepada 10,614.90; Indeks FBMT 100 naik 1.40 mata kepada 10,323.03; manakala Indeks FBM Emas Syariah turun 13.98 mata kepada 10,830.44; Indeks FBM 70 kurang 0.25 mata kepada 13,095.63 dan Indeks FBM ACE susut 2.19 mata kepada 5,351.46.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 48.48 mata kepada 16.402.85; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.06 mata kepada 180.33; Indeks Perladangan turun 36.39 mata kepada 6,952.04 dan Indeks Tenaga kurang 0.40 mata kepada 787.55.



-BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker