Gaya retro ‘Pak Cik Boroi’

Batu Pahat: Minat menggayakan fesyen era 1970-an dengan dandanan rambut ala retro bersama misai lebat menyebabkan Mubarak Sidek sering disangka ‘pak cik’ dari zaman itu.

Sebenarnya, anak kelahiran Parit Daun, Parit Raja di sini, baru berusia 34 tahun meskipun gaya pekebun itu saban hari memakai pakaian bersama aksesori gaya retro.

Mubarak juga selalu berkongsi videonya menggayakan fesyen itu dan disunting dengan gaya klasik di TikTok dan mendapat perhatian warganet yang menyangka dia dari era 1970-an.



Berkongsi cerita itu, bapa kepada tiga anak itu berkata, dia tidak pernah berkecil hati walaupun sering disangka berusia, sebaliknya menganggap itu hanya sekadar gurauan atau anggapan biasa.

Menurutnya, dia memakai pakaian retro setiap hari mengikut keselesaan sejak Mei tahun lalu dan mengakui sangat meminati gaya klasik itu.

“Memang ramai yang sangka saya dari era 1970-an, malah ada yang tanya harga susu pekat pada tahun itu berapa sen. Walaupun pening nak menjawab tetapi saya tak pernah terasa hati.

“Mungkin penampilan saya ditambah dengan gaya retro ini membuatkan saya nampak berusia tetapi tak kisah sebab memang minat gaya ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.



Katanya, setakat ini dia mempunyai lebih 10 baju dan seluar yang dibeli di kedai pakaian terpakai atau bundle berharga RM3 hingga RM10 sehelai.

“Biasanya saya padankan baju dan seluar ikut keselesaan dan ringkas bersama aksesori seperti kaca mata. Setiap hari pakai macam ini kecuali di rumah dan kerja, untuk ke majlis pula ada set lain.

“Gaya macam ini popular pada era 1970-an dan 1980-an. Sebenarnya saya pakai ini tiru pemakaian arwah bapa dan gaya rambut pula memang asli begini,” katanya selalu menyertai majlis bersama beberapa kumpulan dan komuniti fesyen itu sekitar Johor.

Menurut Mubarak, dia mula menjadikan fesyen itu sebagai penampilan hariannya sejak melihat video tular sebuah kumpulan yang gemar menggayakan fesyen itu di media sosial.



Katanya, sejak itu dia selalu memuat naik video yang disunting dengan gaya klasik supaya dapat menggamit memori zaman dulu, namun mengakui tidak menyangka ia akan mendapat perhatian.

“Saya buat video memang menggunakan konsep gaya lama sebab mahu menggamit memori dan mood yang tak dapat dijual beli. Saya berharap video itu dapat memetik ‘api’ kenangan supaya ia menyala kembali.

“Ramai yang suka dan sokong video itu, malah ada juga yang cakap saya seperti imbasan arwah bapa atau datuk mereka ketika zaman muda.

“Generasi muda juga teruja melihat gaya klasik ini, malah ada mahu mencuba gaya pemakaian ini,” katanya yang turut digelar ‘pak cik boroi’.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button