Kes demam denggi meningkat 3.5 peratus minggu lepas



KUALA LUMPUR: Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 tahun ini (ME51/22) dari 18 hingga 24 Disember meningkat 3.5 peratus iaitu 2,018 kes berbanding 1,950 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini, memaklumkan satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu itu berbanding lima pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga kini adalah 64,078 kes berbanding 25,794 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 148.4 peratus manakala 50 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Sebanyak 58 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 55 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 32 lokaliti hotspot berada di Selangor, 16 lokaliti di Sabah, enam lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan empat lokaliti di Pulau Pinang,” katanya.



Beliau berkata, survelan chikungunya pula merekodkan 16 kes pada ME ke-51 dengan 10 kes di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan, masing-masing dengan dua kes dan masing-masing satu kes di Selangor dan Pahang, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya hingga kini adalah 801 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 2,181 sampel darah dan 18 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menyarankan masyarakat agar melakukan aktiviti gotong-royong bagi memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes dan seterusnya menurunkan insiden jangkitan demam denggi.

Beliau berkata, bagi kawasan dilanda banjir, sampah, barang lusuh dan barangan dihanyutkan hendaklah dilupuskan secara berhemah selain perlu memastikan tiada air bertakung di persekitaran premis.



“Ini kerana bahan buangan itu dapat menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes kerana nyamuk Aedes hanya memerlukan takungan air yang sedikit untuk bertelur.

“Nyamuk Aedes juga dapat terbang sejauh 200 meter dari tempat pembiakan bagi mendapatkan sumber makanan serta menjangkitkan virus denggi kepada individu sekiranya nyamuk tersebut membawa virus denggi. Persekitaran yang bersih dapat memutuskan rantaian hidup nyamuk Aedes,” katanya.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker