Longgokan ayat al-Quran di tepi jalan

Nilai: Mengejutkan apabila longgokan pelbagai perhiasan dekorasi ayat suci al-Quran ditemui di lokasi pembuangan sampah haram di Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, di sini, hari ini.

Timbunan berkenaan ditemui penguat kuasa SW Corp yang sedang meronda di kawasan berkenaan pada 12.15 tengah hari sebelum memaklumkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan polis.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, berdasarkan pemerhatian awal, ia dipercayai dibuang peniaga perabot dari Kawasan Perindustrian Nilai 3.

“Daripada maklumat berkenaan, JHEAINS, SW Corp, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai bergegas ke lokasi dan mendapati pelbagai ayat suci al-Quran dibuang di kawasan ini.



“Ia seperti bingkai dan perhiasan yang tertulis ayat suci seperti nama Allah, Muhammad, empat Qul, ayat seribu dinar dan sebagainya. Ia bukan helaian kertas daripada kitab al-Quran,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Beliau berkata, dengan kerjasama semua agensi berkenaan, kesemua perhiasan itu dibawa menggunakan lori milik MBS dan akan dibawa ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Seremban untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan jumlah barang yang ditemui, jumlahnya boleh dimuatkan dalam lori tujuh tan. Kami yakin ia bukan ia bukan perbuatan individu.

“Bagaimanapun, kami mungkin menghadapi masalah untuk melupuskan ayat suci ini kerana bahannya bukan daripada kertas. Kami mungkin terpaksa mencari tempat pelupusan persendirian,” katanya.



Ahmad Zaki berkata, perbuatan itu sebenarnya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mencela, menghina, dan sebagainya agama Islam.

“Ini bukan cara yang betul untuk menghapuskan ayat suci al-Quran. Ia melambangkan kesucian dan kemuliaan agama Islam, malah perbuatan ini boleh menimbulkan rasa sakit hati umat Islam.

“Saya menyeru peniaga di sini supaya menghubungi pihak JHEAINS jika mahu melupuskan sebarang ayat suci al-Quran dan kami akan membantu mereka. Kami risau ia akan menjadi amalan jika tidak dibendung.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada MBS, SW Corp dan PDRM yang berganding bahu menyelesaikan kejadian ini kerana ia membabitkan bidang kuasa banyak pihak,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker