Pertimbang bina Rumah Mesra Rakyat untuk mangsa banjir hilang kediaman



JERTIH: Kerajaan akan mempertimbangkan pembinaan rumah berkonsepkan Rumah Mesra Rakyat (RMR) kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ia adalah di antara usaha kerajaan untuk membantu penduduk yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) iaitu salah sebuah Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan).

“Saya akan menyemak untuk mendapatkan data-data daripada SPNB dan akan lihat apakah bantuan rumah banjir yang boleh mereka (SPNB) bantu untuk memudahkan pembinaan semula rumah-rumah yang berkaitan.



“Walau bagaimanapun, rumah itu tidak percuma dan ada kaedah bayaran yang tidak terlalu tinggi dan mampu milik dengan pemberian subsidi yang besar.

“Rumah mesra rakyat ini ada bentuk khas dan dibina oleh kontraktor tempatan dengan harga antara RM70,000 hingga RM80,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 200 mangsa banjir di kampung itu menerima bantuan barangan makanan.



Ahmad turut melawat rumah penduduk yang musnah akibat banjir luar jangka pada 18 Disember lalu.

Ahmad berkata, pembinaan RMR itu juga mempunyai beberapa syarat tertentu yang perlu dipenuhi seperti penduduk perlu mempunyai tapak rumah dan mendapat persetujuan ahli keluarga jika tanah itu bukan milik individu.

Bagaimanapun, pihaknya turut mengalu-alukan bantuan daripada pihak berkaitan yang mahu membantu mereka yang terjejas akibat bencana alam itu.

“Jadi ini satu kaedah bantuan yang boleh diperolehi tapi kalau ada bantuan dengan kaedah lain melalui Baitulmal dan sebagainya, kita serahkan kepada kepada individu yang rumahnya musnah untuk membuat pilihan,” katanya.



Terdahulu, banjir luar jangka yang melanda Terengganu bermula 18 Disember lalu menyaksikan lebih 40,000 mangsa membabitkan kelapan-lapan daerah itu terjejas.

Kejadian itu menyebabkan lebih 1,000 penduduk di Kampung La di sini terjejas dengan ada di antara mereka hilang tempat tinggal selepas kediaman dihanyutkan arus deras.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker