Aktiviti ambil untung heret turun Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Indeks barometer Bursa Malaysia menyusut daripada paras tertinggi dua bulan berikutan aktiviti pengambilan untung.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.96 mata kepada 1,476.15 daripada 1,480.11 sewaktu ditutup pada Rabu.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 3.84 mata kepada 1,476.27.

Sentimen pasaran lemah apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 149 berbanding 121, manakala 200 kaunter tidak berubah, 951 tidak diniagakan dan 25 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 182 juta unit bernilai RM38.7 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, sentimen global dijangka kekal cenderung kepada penurunan berikutan kemerosotan semalaman di Wall Street disebabkan pelabur mungkin menentukan harga ketika potensi kemelesetan tahun depan.

Selain itu, mereka turut menilai secara terperinci mengenai langkah China untuk membuka semula ekonominya di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19, katanya.

“Bagaimanapun, bursa tempatan seharusnya terus menerima sokongan daripada aktiviti memperelokkan akaun pada akhir tahun dan kenaikan harga komoditi yang lebih kukuh,” katanya menerusi nota hari ini.

Malacca Securities berkata, sektor perbankan dan telekomunikasi dijangka meraih tumpuan berikutan aktiviti memperelokkan akaun yang seterusnya.

Berikutan harga minyak mentah Brent melebihi AS$83 semalam dan harga minyak sawit mentah bergerak melebihi RM4,000, firma pembrokeran itu berkata, momentum pembelian dijangka kekal kukuh bagi sektor tenaga dan perladangan.

Sementara itu, sektor teknologi mungkin terus berdepan tekanan disebabkan penurunan semalam Nasdaq, katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Axiata dan AMMB masing-masing menguncup tiga sen kepada RM2.98 dan RM4.08, Maybank dan Dialog masing-masing merosot enam sen kepada RM8.65 dan RM2.42, TM turun lapan sen kepada RM5.32, manakala Tenaga Nasional susut lima sen kepada RM9.25.

PPB dan KLK pula masing-masing menokok 12 sen kepada RM17.60 dan RM21.82.

Bagi saham aktif, Eduspec menguncup setengah sen kepada 1.5 sen, manakala Focus Dynamics dan Saudee masing-masing tidak berubah pada 2.0 sen dan 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 23.52 mata kepada 10,595.36, Indeks FBMT 100 berkurangan 23.39 mata kepada 10,312.29, Indeks FBM Emas Syariah turun 26.71 mata kepada 10,823.67, Indeks FBM 70 susut 11.06 mata kepada 12,999.17, manakala Indeks FBM ACE naik 24.68 mata kepada 5,312.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 42.37 mata kepada 16.326.67, Indeks Perladangan susut 4.94 mata kepada 6,995.28, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.04 mata kepada 180.86 dan Indeks Tenaga rendah 6.44 mata kepada 777.17.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker