Guna dron seludup barang terlarang ke penjara

Guna dron seludup barang terlarang ke penjara

Guna dron seludup barang terlarang ke penjara
Foto hiasan

MACHANG: Polis menahan tiga lelaki yang menggunakan dron untuk membawa masuk barang terlarang ke Penjara Machang.

Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menerima maklumat berhubung satu unit dron yang kelihatan diterbangkan dan menceroboh kawasan penjara pada jam 1.05 pagi 12 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata dron berkenaan dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan penjara.

Katanya, hasil tindakan segera dan siasatan bersama pihaknya dengan Penjara Machang mendapati teknologi peranti pengesan yang digunakan pengendali dron berjaya dikesan di kawasan berdekatan dengan penjara iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret.

“Serbuan yang dijalankan oleh pihak polis di lokasi yang dikesan berjaya menjejaki tiga lelaki berusia 35 hingga 39 tahun yang bertindak tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Honda CRV dan melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, bagaimanapun semua suspek berjaya ditahan di Jalan Utama Kuala Krai – Kota Bharu di Kampung Bukit Belah, Machang.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta dan tiga suspek membawa kepada penemuan lima unit telefon bimbit, dua unit ‘power bank’, satu bilah parang, 20 biji mercun bola, satu bilah badik, satu gulung ‘doubletape’, satu bungkus pengikat kabel, satu bilah sabit, satu unit alat penimbang digital dan dua gulung dawai besi.

“Selain itu, turut ditemui ialah satu gulung plastik pembalut, satu alat kawalan jauh dron model rc123, 13 bungkusan tembakau, tiga gulung tali nylon berwarna kekuningan dan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau,” katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan dan siasatan lanjut dijalankan atas kesalahan Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

“Pada 19 Disember lalu mereka dituduh di Mahkamah Majistret Machang dan mengaku bersalah untuk kesalahan di bawah seksyen 58(1) Akta Penjara 1995 baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Pada 20 Disember, seorang daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan mengaku bersalah di bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957.

“Suspek mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun setiap satu pertuduhan serta satu sebatan dan hukuman berjalan serentak,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki turut menasihatkan dan mengingatkan orang ramai bahawa menerbangkan dron tanpa permit atau tanpa kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam adalah satu kesalahan.

Pelanggan pusat hiburan nikmati dadah dalam pek jus

Guna dron seludup barang terlarang ke penjara


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Skandal Menara KL: Annuar Musa Tidak Perlu Menggelabah, Biarkan SPRM Siasat

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker