Haaland ledak dua gol benam Leeds

LEEDS, United Kingdom: Erling Haaland meledak dua kali di kota kelahirannya dalam kemenangan 3-1 Manchester City di Leeds yang melonjak kembali mereka ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris.

Haaland membesar di Yorkshire ketika bapanya, Alfe Inge bermain untuk Leeds, namun pemain Norway itu kesal kerana tidak menjaringkan lima gol.

Skuad kendalian Pep Guardiola kini kembali berada lima mata di belakang pendahulu liga, Arsenal selepas bangkit daripada kekalahan mengejutkan di tangan Brentford sebelum rehat Piala Dunia.



Haaland kini sudah mengumpul 20 gol Liga Perdana Inggeris dalam 14 penampilannya sejak menyertai City, tetapi masih tidak berpuas hati kerana tiga kali gagal menewaskan Illan Meslier dalam situasi satu lawan satu.

“Saya sepatutnya menjaringkan lima gol, itu hakikatnya. Kami menang, itu yang paling penting. Arsenal di atas sekarang, kami perlu memburu mereka.

“Tetapi sebagai penyerang, saya sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol. Saya perlu berlatih lebih lagi,” kata Haaland.

Haaland berpeluang membuka jaringan seawal 45 saat tetapi percubaannya dinafikan Meslier. Penjaga gol Leeds itu turut beraksi cemerlang sepanjang babak pertama dengan menyelamat sekali lagi percubaan Haaland.



Bagaimanapun gawang Leeds akhirnya dibolosi dalam masa kecederaan babak pertama apabila Rodri memanfaatkan bola tampanan Meslier hasil percubaan Riyad Mahrez.

Jack Grealish yang dua kali terlepas percubaan untuk meletakkan City di depan pada babak pertama, menebus kesilapannya dengan membuat umpanan kepada Haaland untuk gol kedua City.

Bintang City itu bagaimanapun masih menghormati kota kelahirannya dengan tidak meraikan jaringan, tetapi dia tidak melepaskan peluang untuk menambah jaringan hasil gerakan Grealish.

Leeds yang kini hanya dua mata di atas zon penyingkiran, meledak gol tunggal menerusi Pascal Struijk ketika permainan berbaki 17 minit.



Haaland berpeluang melengkapkan hatrik namun sekali lagi dia gagal menewaskan Meslier.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button